Pesakit Tidak Beritahu Maklumat Penuh, Setelah Disiasat Hospital Terpaksa Ditutup, Pesakit Lain Disuruh Pulang Segera

HOSPITAL Pantai Laguna Merbok menutup operasinya esok sehingga Isnin depan berikutan seorang pesakitnya dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit yang disahkan dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihak hospital menjelaskan wanita warga tempatan berusia 30 tahun itu hadir ke hospital untuk rawatan bersalin.

Bagaimanapun, pesakit itu tidak memberikan pendedahan penuh semasa proses pemeriksaan di hospital dan dirawat di wad biasa.

“Dia didapati mengalami demam selepas melahirkan anak. Siasatan lanjut mendapati wanita terbabit pernah tinggal bersama ahli keluarga yang menghadiri perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan diuji positif untuk Covid-19,” katanya.

HOSPITAL Pantai Laguna Merbok Proses menjalani proses pembersihan dan pembasmian kuman. FOTO Ihsan Hospital Pantai Laguna Merbok

Kenyataan hospital itu memaklumkan, pesakit itu kini dirujuk ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, susulan itu hospital berkenaan akan ditutup sementara bagi proses pembersihan dan pembasmian kuman.

Katanya, kesemua kakitangan yang bersentuhan dengan pesakit sudah dikenal pasti dan mereka di kuarantin serta diuji negatif bagi Covid-19.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, pihak hospital juga memutuskan untuk membenarkan semua pesakit pulang sepanjang tempoh premis itu ditutup selepas mendapat nasihat daripada perunding masing-masing.

“Perkhidmatan klinikal akan disambung semula pada Selasa iaitu 24 Mac ini dan pesakit boleh meneruskan rancangan untuk mendapatkan rawatan di sini seperti biasa,” katanya.

Sejak Januari lalu, Hospital Pantai Laguna Merbok menyediakan langkah berjaga-jaga terhadap penularan Covid-19, termasuk mengehadkan laluan masuk ke hospital, pemeriksaan suhu dan gejala ke atas setiap pelawat.

Artikel Berkaitan   Itik Laju “Merempit” Atas Highway Berlumba Dengan Kenderaan, Netizen Pelik “Itik Tu Tak Penat Ke?”