8 tahun gigih menanam pokok epal tanpa menggunakan bahan kimia, petani Jepun akhirnya menghasilkan epal tidak mereput
Kita sering bercakap tentang bahaya terhadap kesihatan apabila memakan lebih daging dan kurang memakan sayur-sayuran dan buah-buahan dalam pengambilan diet seharian. Ada yang berpendapat masalah akan selesai dan kita telah menjaga kesihatan apabila mengamalkan diet seimbang dengan memakan lebih sayur-sayuran dan buah-buahan.
Masalahnya adakah kita mengetahui sumber sayur-sayuran dan buah-buahan itu sama ada ia ditanam secara organik semula jadi atau mengunakan baja dan racun serangga mengandungi bahan kimia.
Kredit : akhokkaido/ Facebook
Tahukah anda bahan makanan yang ditanam secara organik semula jadi, tidak akan mudah rosak dan boleh bertahan selama beberapa hari dan masih segar walaupun tidak ditempatkan di dalam peti sejuk?
Ini kerana tanaman organik tanpa meletak bahan kimia tidak mengandungi toksin, yang menjadi penyebab kepada masalah kesihatan seperti mendapat kanser dan lain-lain penyakit. Namun seseorang itu perlu mengenali teknik penanaman hasil pertanian secara organik dan semula jadi dengan cara yang betul, untuk mendapatkan hasil pertanian yang bernilai dari sudut kesihatan.
Kredit : akhokkaido / Facebook
Beberapa tahun yang lalu tersebar kisah seorang petani penanam epal yang telah berjaya mencipta teknik penanaman epal ‘ajaib’ dengan menggunakan teknik ‘tanpa racun serangga, tanpa baja kimia’. Petani dari Jepun bernama Akinori Kimura mengambil masa selama 8 tahun melalui kepayahan dan pahit getir sebelum berjaya mempelopori teknik ini dan menjadi guru pertanian organik untuk dikongsikan dengan petani lain yang ingin menghasilkan tanaman organik secara semula jadi dengan sepenuhnya.
Kisah bermula apabila Akinori Kimura pulang ke Hirosaki di Wilayah Aomori untuk berkahwin dengan gadis tempatan dan mengambil alih sebuah ladang epal milik keluarga isterinya pada usia 22 tahun.
Kredit : YAN News
Semenjak usia muda, Akinori sentiasa berusaha keras dan menjadi seorang petani gigih yang bercita-cita besar. Dengan menjadi petani berpengalaman selama berdekad lamanya, Akinori mengeluarkan tanaman epal berskala besar dengan mengguna teknik agro kimia. Namun, akibat penggunaan racun serangga dan baja kimia yang kerap telah menyebabkan alahan penyakit kulit serta kebengkakan yang sangat teruk pada wajah isterinya.
Berusaha keras mencari jalan penyelesaian, Akinori Kimura telah menemui satu buku di kedai buku tempatan, yang memberi inspirasi untuk mengamalkan penanaman epal menggunakan kaedah pertanian semula jadi.
Kredit : YAN News
Akinori berkata, “Saya tidak ingat sudah berapa kali saya membaca buku tersebut, tetapi amat banyak.”
Malangnya, selepas Akinori berhenti menggunakan racun serangga, pelbagai serangga perosak tanaman telah menyerang ladang epalnya. Dan selepas itu telah menular pula membawa penyakit tanaman bawaan bakteria, yang telah menyebabkan daun dari pokok-pokok epal telah gugur sebelum tiba musim luruh.
Akinori Kimura telah mencuba pelbagai cara untuk memulihkan pokok-pokok epal yang hampir mati di ladang epal itu, namun tidak menemui sebarang kejayaan.
Kredit : SBS/NTD.TV
Walaupun selepas empat tahun berlalu, kesemua pokok epal di ladang tersebut tidak mengeluarkan buah dan pada tahun kelima, kesemua pokok epal tersebut menjadi layu.
Akinori Kimura mengalami saat paling sukar dan bebanan masalah kewangan yang amat serius berikutan kegagalan ladang epalnya mengeluarkan hasil dalam tempoh yang panjang iaitu selama 5 tahun.
Pada tahun keenam, Akinori Kimura mengalami kemurungan dan telah kehilangan kesemua harapan untuk hidup. Akhirnya beliau telah mengambil keputusan untuk membunuh diri di Gunung Iwaki. Tanpa disedari, suatu perkara ‘ajaib’ dan luar jangkaan telah berlaku.
Kredit : SBS/NTD.TV
Semasa Akinori sedang mencari tempat yang sesuai untuk mengakhiri riwayat hidupnya, beliau telah melihat pokok acorn (sejenis spesies oak) yang sedang berbunga dengan mekar dan cantik. Kemudian Akinori telah meneliti secara dekat pokok itu, membuatnya termenung seketika dan berfikir bagaimana pokok ini boleh bertahan di dalam hutan tanpa menggunakan sebarang penggunaan baja dan racun serangga.
Niat asalnya untuk membunuh diri terus dilupakan, dan Akinori terus menyelidiki keadaan pokok tersebut untuk mengetahui ‘rahsia’ alam semula jadi yang tersembunyi sehingga membuat pokok ini berbunga mekar dan akan mengeluarkan buah yang banyak tidak lama lagi. Akinori kemudian telah menggali tanah di sekeliling pokok acorn tersebut dan amat terkejut apabila melihat keadaaan tanah yang sangat lembut dan gebu.
Kredit : yousakana.jp
Katanya, “Jika saya boleh membaik pulih dan mengeluarkan tanah jenis ini secara semula jadi kepada persekitaran ladang, saya akan menemui kejayaan.”
Selepas penemuan baru itu, Akinori Kimura telah menjalankan beberapa ujikaji dengan mencuba pelbagai jenis tanah dan menyelidiki sifat serangga perosak tanaman yang telah merosakkan tanaman epal di ladangnya.
Akinori Kimura berusaha gigih mencari jalan untuk menghasilkan semula ekosistem seperti yang berada di Gunung Iwaki untuk dipakai ke atas ladang epalnya.
Kredit : SBS/NTD.TV
Untuk membuahkan hasil, Akinori telah membiarkan ladang epalnya ditumbuhi lalang dan rumpai tanpa menebas atau membuangnya.
Tanpa penggunaan racun serangga, Akinori telah menggantikan serangga berfaedah untuk memakan serangga perosak tanaman. Manakala bagi melindungi pokok-pokok epal daripada sebarang penyakit bakteria, Akinori telah menyemburnya dengan cecair berasaskan cuka yang lembut.
Akhirnya pada tahun kelapan, setelah mengharungi segala kepayahan dan pahit getir sehingga hampir mengambil nyawanya, kesemua pokok epal di ladang Akinori Kimura telah berbunga dengan lebat pada satu musim bunga yang sangat indah.
Kredit : SBS/NTD.TV
Akinori Kimura percaya bahawa alam semula jadi telah membantunya membawa kekuatan secara semula jadi kepada kesemua pokok epal di ladangnya. Rasa buah epal juga telah bertukar menjadi lebih manis, sedap dan berkualiti.
Menurut Akinori Kimori mengenai rahsia tanaman secara organik semula jadi ini, “Dengan mengekalkan pelbagai jenis rumput di ladang tersebut, ia talah menyeimbangkan kehidupan organisme di situ. Saya hanya akan menggunakan kaedah pembentukan ekosistem yang memudahkan pokok epal untuk membesar dengan baik dan mudah.”
Kredit : akhokkaido / Facebook
Sejak tahun 1978, Akinori Kimura tidak pernah mengamalkan pertanian menggunakan baja dan racun serangga berasas kimia ke atas ladang epalnya yang seluas 8,800 meter persegi itu. Selepas teknik ciptaan penanaman epal mencapai kejayaan, petani ini mengekalkan ekosistem semula jadi, membiarkan haiwan dan serangga baik memainkan peranan kitaran alam secara semula jadi. Kita akan dapat melihat haiwan seperti katak, tikus tanah dan arnab serta belalang dan lebah hinggap di ladangnya, tetapi Akinori membiarkan mereka hidup di habitatnya.
Oleh kerana ladangnya tidak menggunakan sebarang bahan kimia, maka haiwan kecil dan serangga juga suka mencari makanan di ladang epal ini, dan manusia juga boleh memakan epal terus melalui pokok kerana epal organik keluaran ladang Akinori Kimura memberi nilai dan khasiat kepada kesihatan.
Kredit : afamily.vn
Akinori menaman epal ‘ajaib’ yang sentiasa gembira. Epal di ladang Kimura apabila dipotong dua tidak cepat berwarna keperangan dan membusuk apabila terdedah. Dan apabila dibiarkan buat beberapa waktu, ia akan mengecut secara semula jadi dan menjadi buah kering, dengan warna merah yang masih kekal dan masih berbau harum seperti buah yang dijeruk atau dikeringkan.
Akinori Kimura kini telah berjaya menjadi petani contoh dan amat terkenal di Jepun dalam memperkenalkan teknik penanaman epal dan pertanian bahan makanan lain secara organik dengan berskala besar tanpa sebarang penggunaan bahan kimia.
Kredit : akhokkaido / Facebook
Akinori Kimura kini menjadi seorang guru pertanian yang mempraktikkan penanaman buah-buahan dan sayur -sayuran secara organik yang memberi nilai kesihatan kepada semua yang mahu mengikuti kaedahnya, sehingga mendapat pengiktirafan para petani dari Korea Selatan dan Taiwan.
Impian Akinori Kimura untuk mengubah cara konvensional para petani mengunakan bahan kimia dalam kaedah pertanian kepada pertanian organik semakin menjadi kenyataan apabila semakin ramai para petani dan golongan persendirian yang telah mencuba kaedah dan teknik penanaman organik hasil kajian dan ciptaannya. Semua kerana mereka mahukan tanaman yang dihasilkan bebas daripada bahan kimia dan apa yang penting memberi khasiat dan manfaat kepada kesihatan.
Sumber : Epoch Times, Japan Times Via Erabaru.com.my