PM Jamin Bekalan Makanan Cukup, Tidak Perlu Pembelian Panik

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberi jaminan kepada orang ramai bahawa tiada keperluan untuk melakukan pembelian panik kerana bekalan makanan adalah mencukupi dan boleh didapati pada setiap masa.

Beliau mengakui bahawa terdapat beberapa tahap pembelian panik dalam kalangan masyarakat susulan pandemik Covid-19 yang dihadapi dunia ketika ini termasuk Malaysia.

“Malam ini kita akan turut membincangkan isu ini, tetapi secara jujur, janganlah terlalu risau. Bekalan makanan mencukupi untuk semua orang,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Ekonomi pertama di sini hari ini.

“Kami telah mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memastikan bahawa bekalan makanan yang penting adalah mencukupi serta boleh didapati pada setiap masa,” katanya.

Muhyiddin juga berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan telah diarah memantau situasi di lapangan.

“Setakat hari ini, kementerian berkenaan tidak menyatakan bahawa bekalan makanan sedang kehabisan. Kami juga akan memastikan bahawa orang ramai mempunyai akses kepada bahan makanan penting seperti sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan di kedai-kedai yang akan sentiasa dibuka.

“Jadi, adalah penting untuk memastikan bahawa anda tidak akan berasa kehilangan sesuatu serta mula bergegas untuk melakukan pembelian dan penyimpanan yang sebenarnya tidak perlu,” katanya.

Muhyiddin juga berkata: “Hadapilah situasi ini dengan tenang, kami akan memastikan bahawa bekalan makanan mencukupi dan boleh didapati pada setiap masa, jangan tergesa-gesa.

“Beli dan simpan apa yang perlu seperti biasa, kami akan memastikan bahawa anda boleh mendapatkan barangan makanan pada bila-bila masa sahaja,” katanya. – Bernama

Artikel Berkaitan   11 Tanda Anda Sedang Diekori Oleh Makhluk Halus Atau Jin