Polis Giat Mencari Ana Simon Tentang Penyebaran Gambar B*Gel, SKMM Mula Siasatan

Kes penyebaran gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel di Pulau Perhentian, Besut yang tular di media sosial baru-baru ini akan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Ketua Polis Terengganu, Datuk Aidi Ismail berkata, ia selaras dengan arahan Pejabat Peguam Negara yang mahu kes berkenaan disiasat mengikut Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.

“Kes bakal disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

“Polis akan membantu SKMM untuk menjejak individu dikenali sebagai Ana Simon yang disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video tarian terbabit menerusi akaun Facebook palsu, Nur Amanina Abdul Razak (Terengganu),” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis serah tugas Ketua Cawangan Khas Terengganu antara Senior Asisten Komisioner Zakaria Haron dengan Superintendan Zainol Ahmad di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Kosmo! Isnin lalu melaporkan Ana Simon diburu kerana disyaki bertanggungjawab menyebarkan gambar dan video palsu penganjuran pesta tarian separuh bogel kononnya anjuran sebuah calet di Pasir Panjang, Pulau Perhentian. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Pengunjung Hanya Mampu Melihat Pekerja Belon Udara Panas Diterbangkan Secara Tiba-Tiba Lalu Jatuh Dari Udara