Polis Rotan Remaja Adalah Wajar, Bekas Ketua Polis Nafi Polis Lakukan Kesalahan Seperti Dalam Video

Sebelum ini tular dimedia sosial berkenaan satu video anggota polis didakwa merotan individu yang degil tidak mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan.

Susulan daripada perkongsian tular itu, menerusi Harian Metro, pegawai polis yang didakwa merotan tersebut dikatakan bakal dikenakan tindakan.

Namun begitu, Bekas Ketua Polis Negara iaitu, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan perkara merotan itu adalah wajar kerana dalam situasi Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) untuk membendung Covid-19 dari menular.

Hal tersebut di petik menerusi kenyataannya di Berita Harian mengulas dakwaan bahawa pegawai polis itu bakal dikenakan tindakan ekoran merotan individu yang melanggar PKP.

“Kerajaan sudah beri amaran akan mengambil tindakan tegas. Rakyat perlu akur dengan sebarang keputusan diambil pihak berkuasa.

“Tindakan sebat juga boleh dikenakan terhadap individu terutama remaja yang masih degil. Polis bukan rotan kuat pun, bukan macam rotan dalam penjara.”

Dalam pada itu juga, beliau turut menyatakan bahawa tindakan tersebut wajar dilakukan sebagai salah satu pengajaran kepada semua. Hal ini bagi mengelakkan lebih ramai individu ingkar dengan situasi sekarang.

“Lebih baik kita memberi peringatan tegas daripada tangkap mereka. Kalau boleh kita mahu elakkan remaja ini menyusahkan ibu bapa mereka.”

“Nanti penjaga pula perlu pergi balai polis seterusnya naik turun mahkamah untuk menyelesaikan permasalahan timbul.”

Terdahulu, pihak polis dilaporkan akan mengambil tindakan terhadap seorang pegawainya yang dilihat merotan enam remaja lelaki kerana ingkar PKP di Kunak, Kota Kinabalu baru-baru ini.

Hal tersebut menghadirkan pelbagai pendapat dan ada mengatakan tindakan tersebut tidak bersesuaian dan ada pula yang menyokong perbuatan tersebut sebagai satu pengajaran kepada individu yang degil terhadap arahan kerajaan.

kredit info sebenar