Polis Terkejut Ramai Mengikuti Perarakan Geng “04”, Penemuan Yang Tidak Disangka-Sangka, Ini Nasihat Polis

polis menahan enam lelaki kerana dipercayai merancang perarakan dan penggunaan logo sebuah pertubuhan tidak berdaftar semasa perarakan pengebumian di Batu Lanchang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 26 tahun itu yang ditahan dalam operasi bermula jam 12 tengah malam hingga 5 pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan itu susulan daripada video berdurasi 11 saat yang memaparkan perarakan pengebumian disyaki daripada ahli sebuah kumpulan tidak berdaftar dengan menggunakan logo ‘04’ yang dipamerkan di hadapan sebuah kenderaan.

Beliau berkata, video tersebut tular selepas dimuat naik di Facebook Malaysian Tamilar Kural pada 11 Disember lalu.

“Tindakan kesemua suspek didapati boleh menyebabkan keamanan awam terjejas, menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara.

“Susulan daripada perarakan itu juga, ia menyebabkan kesesakan lalu lintas kerana ia tidak dirancang dengan sempurna selain tidak mendapat nasihat dari polis,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, kesemua mereka direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 43 Akta Pertubuhan 1966 dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1988.

“Empat daripada suspek mempunyai beberapa rekod jenayah lampau antaranya kes dadah; samun; mendatangkan cedera, merusuh dan bunuh,” katanya.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati, mayat yang hendak dikebumikan itu adalah seorang lelaki yang telah meninggal dunia kerana terlibat dengan kemalangan yang mana motosikal ditunggangnya terbabas pada 10 Disember lalu.

Katanya, lelaki itu dipercayai salah seorang ahli kumpulan sebuah pertubuhan yang tidak berdaftar yang menggunakan lambang ‘04’.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak melibatkan diri dalam sebarang pertubuhan yang tidak berdaftar serta menyalahi undang-undang.

“Selain itu, polis tidak pernah menghalang sebarang perarakan pengebumian asalkan ia dilakukan tanpa melanggar sebarang peraturan atau undang-undang yang berkuat kuasa serta tidak menimbulkan keresahan, kacau ganggu awam dan ketenteraman masyarakat umum,” katanya.

Soffian berkata, pihaknya meminta masyarakat yang ingin mengadakan perarakan agar mendapatkan nasihat dari polis terlebih dahulu bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas yang akan mengganggu pengguna jalan raya lain.

Terdahulu, tular sebuah video yang memaparkan perarakan pengebumian yang disertai puluhan pemuda yang menunggang motosikal menghalang laluan jalan di Batu Lanchang untuk kegunaan pengguna jalan raya lain.

Mereka turut memasang mercun di tengah jalan raya selain ada yang tidak memakai topi keledar sambil menunggang motosikal.