
Mempelam harumanis atau nama saintifiknya ‘Mangifera indica Linn’ adalah sejenis buah bermusim yang sangat sinonim dengan Perlis.
Ia sentiasa menjadi sebutan ramai apabila tiba musimnya pada April hingga Jun. Kemanisan yang mencapai 23 peratus brix dan keharumannya sangat digemari sama ada dimakan segar, dibuat jus atau dimakan bersama pulut.
Tekstur isinya halus dan tidak berair malah apabila dimakan ia tidak banyak mengandungi serat berbanding mempelam yang lain.
Faktor yang menyebabkan harumanis sesuai ditanam di negeri berkenaan kerana kesuburan tanahnya dan faktor cuaca panas sangat baik bagi proses pertumbuhan serta penghasilan harumanis berkualiti.
Ciri-ciri harumanis adalah di bahagian bawahnya lekuk berbanding mempelam lain yang berbentuk bujur.
Apabila masak buahnya berbau harum sementara isinya manis dan berwarna kekuningan.
Ia mempunyai dua warna kulit iaitu hijau (yang dibalut dengan kertas pembalut biasa) dan kuning (yang dibalut dengan kertas karbon). Namun saiz dan rasa isinya tetap sama.
Terkini, keluasan penanam harumanis di Perlis sudah menjangkau 1037.91 hektar dan keluasan berhasil sebanyak 655.10 hektar. Oleh itu, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menjalankan pelbagai kaedah bagi meningkatkan pengeluaran buah berkenaan.
Pengarah MARDI Perlis Dr Wan Abdullah Wan Yusoff berkata, Projek Pemulihan Mangga Harumanis (PPMH) Negeri Perlis bertujuan membantu peladang harumanis meningkatkan hasil pengeluaran.
Beliau berkata, projek ini membabitkan tiga kaedah iaitu pangkasan untuk pembentukan semula pokok harumanis atau teknik ‘pollarding,’ kaedah pemulihan pokok secara pembentukan dahan dan kaedah penukaran varieti sedia ada ke varieti harumanis melalui teknik cantuman dewasa.
“PPMH sedang giat dijalankan MARDI dengan mendapat pembiayaan penuh dari Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang menyasarkan keluasan 40 hektar di seluruh Perlis.
“Teknologi pengeluaran harumanis turut membabitkan pembajaan, pengurusan serangga perosak dan penyakit, aruhan pembungaan, sistem pengairan, pengendalian selepas tuai, sistem penjenteraan, pengurusan rumpai, khidmat bimbingan dan latihan ‘hands on’ serta pengurusan ladang yang cekap serta berkesan.
“MARDI terbabit secara langsung dalam PPMH dengan menjadikan lokasi Kampung Paya Kelubi sebagai projek permulaan,” katanya ketika ditemui di MARDI Arau, Perlis, baru-baru ini.
Dr Wan Abdullah berkata, pemilihan pokok induk (varieti kurang nilai) adalah sangat penting bagi memastikan prestasi kaedah cantuman yang baik.
“Pemilihan pucuk harumanis perlu dilakukan dengan teliti supaya peratusan cantuman berjaya itu tinggi. Cantuman yang berjaya kekal berwarna hijau dan tunas baru mula kelihatan selepas dua minggu cantuman dilakukan.
“Pertumbuhan cantuman meningkat secara drastik pada enam bulan pertama. Direkodkan pertumbuhan cantuman dewasa selepas lima bulan cantuman adalah setinggi 33.8 sentimeter (cm).
“Cantuman yang sudah berusia tujuh hingga lapan bulan juga berupaya mengeluarkan bunga dan berputik. Kebanyakan petani yang menukar varieti mangga komersial lain kepada varieti harumanis perlu menilai atau mengkaji kos yang terbabit,” katanya.
Beliau berkata, program pemulihan projek kelompok harumanis yang berasaskan pemindahan teknologi ini sudah dijalankan sejak Oktober 2007.
“PProjek ini membabitkan keluasan kira-kira 14 hektar dengan jumlah peserta seramai 15 orang meningkat pada 2008 kepada 20 peserta membabitkan keluasan 18 hektar.
“Teknologi yang dijalankan itu berjaya memulihkan kawasan harumanis di kawasan Kampung Paya Kelubi, menjadi ladang contoh dan projek ladang contoh.
“Meningkatkan hasil daripada dua tan sehektar kepada 5.5 tan sehektar, meningkatkan pendapatan petani dan meningkatkan kualiti buah untuk pasaran,” katanya.
Menurutnya, projek teknologi yang dijalankan itu juga berjaya menaikkan semula potensi harumanis sebagai klon utama mangga Malaysia.
“Kami berusaha mengekalkan ladang contoh harumanis Paya Kelubi dan menyebar serta memberi khidmat teknikal kepada penanam mangga komersial.
“MARDI juga akan memindah program pemulihan dan pendekatan kepada agensi atau jabatan kerajaan yang terbabit dalam memajukan industri mangga di Perlis,” katanya.
Sementara itu, pengusaha harumanis, Ramli Abu Seman, 55, berkata sambutan harumanis sangat menggalakkan berikutan permintaan tinggi setiap kali tiba musimnya.
“Pada awal pembabitan, saya mempunyai 60 pokok yang ditanam di bawah Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADP) pada 1984.
“Selepas melihat sambutan harumanis begitu mendadak, kini saya mempunyai 250 pokok harumanis di tiga ladang membabitkan keluasan dua hektar.
“Harga pasaran buah harumanis boleh melonjak ke RM40 sekilogram berikutan permintaan yang menggalakkan,” katanya.
INFO
CIRI-CIRI HARUMANIS
• Buah masak berwarna hijau (bergantung pada jenis dan warna pembalut)
• Buah tiada leher
• Hujung buah rata dan tumpul
• Ada kehadiran sinus yang sederhana dalam
• Serat yang terlekat pada biji sangat sedikit
• Serat yang terlekat pada kulit sangat sedikit.
• Tekstur isi halus
• Isi buah masak bewarna kuning jingga, manis, harum dan sangat berjus
• Biji jenis poliembrio
• Berat buah diantara 350-650 gram
Sumber: Harian Metro