Program Biodiesel B10 Bermula Februari 2019 Beri Sinar Baru Buat Industri Kelapa Sawit

Program Biodiesel B10 tingkat permintaan sawit


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan program Biodiesel B10, iaitu campuran 10 peratus kandungan minyak sawit, akan meningkatkan penggunaan domestik minyak sawit dan membantu mengurangkan lebihan stok di pasaran global.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata kerajaan akan melaksanakan program B10 itu secara berperingkat bermula 1 Disember ini sebelum pelaksanaannya secara mandatori pada 1 Februari tahun depan dalam usaha menyokong harga minyak sawit yang menyusut ke paras RM2,000 satu tan.

“Ini adalah masa terbaik untuk melaksanakan perluasan program biodiesel yang ditangguhkan sejak 2016. Langkah ini akan menggalakkan penggunaan minyak sawit domestik kerana ia dijangka menggunakan 761,000 tan minyak sawit setahun serta menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG)

“Peningkatan penggunaan minyak sawit mentah (MSM) domestik akan membantu mengurangkan stok semasa yang tinggi serta menaikkan harga MSM sekali gus memberi manfaat kepada pekebun kecil,” katanya pada majlis pengumuman Program Biodiesel B10 dan B7 untuk sektor Pengangkutan dan Industri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Industri Utama, Datuk Zurinah Pawanteh; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr Ahmad Kushairi Din; Timbalan Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia (MBA), Long Tian Ching dan Pengerusi Persatuan Kejuruteraan dan Pengedar Alat Ganti Motor Selangor dan Wilayah Persekutuan (EMPTA), Yap Soh Chee.

Kok berkata, pelaksanaan biodiesel dijangka dapat menjimatkan kos pengimportan diesel sebanyak RM1.64 bilion setahun melalui penggantian kepada biodiesel sawit sebanyak 761,000 tan setahun.

“Bagi melaksanakan inisiatif itu, syarikat petroleum mempunyai tempoh masa dua bulan untuk peralihan daripada biodiesel B7 sedia ada kepada B10.

“Bagaimanapun, stesen minyak di tanah tinggi seperti Cameron Highlands dan Genting Highlands di Pahang, serta Kundasang di Sabah akan dikecualikan daripada menjual biodiesel B10 secara runcit,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan yakin penggunaan biodiesel tidak akan menjejaskan enjin kenderaan atau memberi kesan kepada penyelenggaraan kenderaan berjadual berikutan percubaan B10 yang dijalankan MPOB sebelum ini.

Sumber: Harian Metro