Puchong Sesak Luar Biasa, Polis Terkejut Ramai Yang Cuba Ingkar PKP

POLIS Selangor tidak menolak kemungkinan kesesakan di hadapan Plaza IOI, Puchong, disebabkan ramai ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), lapor BH Online.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin, berkata setakat ini beliau sudah mengarahkan Ketua Polis Daerah Serdang, meninjau lokasi berkenaan bagi mendapatkan faktor utama kesesakan yang dianggarkan lebih satu kilometer (km) itu.

“Saya sendiri pelik kenapa berlakunya kesesakan teruk di kawasan itu sedangkan cara dan prosedur sekatan jalan raya (SJR) yang dibuat dalam bentuk yang sama seperti sebelum ini.

“Jadi kita percaya kesesakan ini adalah disebabkan tindakan segelintir pihak yang mengingkari arahan PKP,” katanya yang dihubungi sebentar tadi.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan alasan tidak munasabah terhadap mana-mana pihak yang mengingkari arahan PKP termasuk tindakan cuba keluar rumah.

“Arahan polis jelas, sesiapa yang mengingkari arahan PKP ini dan ditahan semasa melalui SJR berkenaan akan ditahan dan dikompaun RM1,000.

“Kita (Polis Selangor) juga sedang mendapatkan maklum balas dari beberapa lokasi lain di seluruh Selangor yang mencatatkan jumlah kenderaan yang begitu tinggi di atas jalan raya hari ini,” katanya.

Noor Azam turut mengulangi bahawa cara dan prosedur SJR masih dalam bentuk yang sama dengan membuka satu atau dua lorong namun apabila wujud kesesakan teruk, itu adalah disebabkan kehadiran jumlah kenderaan yang tinggi.

Terdahulu tular di laman sosial video berdurasi 0.37 saat yang memaparkan kesesakan luar biasa dari Plaza Tol Puchong ke IOI Mall ekoran SJR.

Beliau berkata, kesesakan teruk di Puchong juga berpunca daripada tindakan polis membuka satu lagi SJR di kawasan berhampiran selepas pengguna yang melalui laluan di kawasan Plaza IOI, Puchong cuba mengelak diperiksa polis.

Artikel Berkaitan   “Dugaan Semasa PKP, Suami Bawa Mak Ayah Kat Rumah, Saya Dah Macam Bibik. Bukan Merungut Tapi….”

Pengguna terpaksa melalui sekatan jalan raya di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP) dan menempuh sekatan berkenaan.

Ini berkemungkinan ada antara pengguna jalan raya terbabit melakukan kesalahan PKP dengan mengingkari arahan tidak keluar rumah.

“Kesan daripada cubaan menggunakan laluan lain yang sebelum ini tidak disekat akhirnya menyebabkan kesesakan teruk dan jumlah kenderaan yang tinggi berbanding fasa satu dan dua PKP.

kredit harian metro