CARA TANAM BETIK DALAM POLIBEG – UNIK
CARA TANAM BETIK DALAM POLIBEG DAN BERBUAH?
Foto diatas menunjukkan teknologi ini boleh dilakukan dengan membaca blog ini seterusnya. Teknologi ini merupakan satu teknologi yang diperkenalkan di Thailand yang penulis baca dalam sumber didalam Facebook dan kemudian membuat penelitian sebelum menulisnya iaitu dari bahasa asal Thai kebahasa Malaysia. Tulisan Thai ini memang saya tidak faham langsung tetapi berdasarkan foto, sebagai seorang agronomist rasanya boleh faham akan teknologi yang ada dan yang dimaksudkan. Memang seronok kalau kita boleh menanam betik dihalaman rumah dalam polibeg besar dan kemudian memetik hasilnya.
Pokok Betik (Carica papaya) daripada keluarga Caricaceae merupakan pokok buah yang tidak bermusim dan boleh berbuah sepanjang tahun. Cara menanam betik dengan kaedah konvensional diatas tanah memerlukan kemahiran khusus terutama didalam memilih pokok betik jenis hermaprodit sahaja. Ini kerana ada pokok betik jantan (tiada buah hanya berbunga sahaja) dan pokok betik betina (Buahnya kecil, bulat dan isi yang nipis. Oleh itu penanaman betik selalunya menggunakan 2-3 anakbenih dalam satu lubang penanaman dimana pokok betik jantan dan pokok betina akan dibuang kemudian. Hanya pokok betik hermaprodite sahaja akan ditinggalkan untuk dituai hasilnya. Betik Sekaki atau Betik Hong Kong merupakan varieti betik paling popular ditanam di negara kita. Hampir 75% varieti betik yang ditanam kini adalaj dari varieti Betik Sekaki. Varieti Betik lain yang ditanam seperti Varieti Eksotika, Varieti Subang, Varieti Frangi dan Three Pillars yang saya tulis dalam artikel saya sebelum ini (Sila klik disini).
Keluasan tanama betik pada 2012 sebanyak 3,450 dengan pengeluaran hasil sebanyak 49,000 metrik tan. Apa artikel kali ini penulis berkongsi maklumat dalam “Anim Agro Technology” mengenai teknologi menanam betik dalam pasu untuk dijadikan amalan kepada mereka yang berbinat melakukannya sendiri.
Pokok Betik merupakan pokok yang boleh hidup lama jika dijaga dengan baik. Pemerhatian penulis ada pokok betik yang hidup melebihi 10 tahun dan masih berbuah walau pun pokoknya tinggi dan banyak cabang. Pokok betik yang buahnya lebat, tahan serangan penyakit, rajin berbuah dan kualiti buah baik sesuai dibiakkan dan dijadikan pokok induk untuk teknologi ini. Pokok yang sudah tinggi ini kemudian ditakek atau dipotong (mana satu sesuai) dengan parang tajam dibatangnya dan digalakkan untuk mengeluarkan tunas baru. Berikan baja dan tunas membesar sehingga saiz batang sesuai dan mula berbunga. Kemudian buatkan satu beg jernih dari plastik yang diisikan dengan cocopeat dan juga penggalak akar setelah batang tunas tersebut dilukakan dengan pisau. Potong beg plastik tersbut ditengahnya dan kemudian dilekapkan pada tunas betik tersebut (Sila lihat foto disebelah).Kemudian ia diikat kuat dengan tali dan elakkan daripada plastik tersebut pecah. Biarkan untuk beberapa minggu sehingga akar pokok keluar daripada beg plastik tersebut (Boleh dilihat kerana akar akan kelihatan dari plastik jernih ini). Penjagaan pokok induk seperti menyiram, membaja dan mengawal serangan perosak perlu dilakukan. Sentiasa melihat beg cantuman ini sehingga akar keluar dan ia sesuai untuk dipotong.
Apabila jelas telah ada akar didalam beg tersebut maka sebaiknya ia sesuai untuk dijadikan anakbenih betik. Gunakan pisau tajam untuk memootong dibahagian bawah beg mendandungi media tanaman tersebut menggunakan parang atau scateurs. Pastikan akar anakbenih betik tersebut masih utuh dan tidak putus. Setelah dipotong pangkal anak benih maka ia dikumpulkan. Buang beberapa tangkai daun yang terbawah pada anakbenih betik tersebut (Sila lihat foto disebelah). Pilih anakbenih yang subur, sihat, vigorous, ada akar dan pokok yang matang (reproductiveF stage).
Baca Juga : Tips Tanam Betik Dalam Pasu
Pokok yang masih dalam vegetative stage elakkan dari petani untuk mengambilnya bagi dijadikan benih. Simpan benih betik dikawasan sesuai sebelum ia sesuai untuk ditanam didalam pasu atau polibeg plastik besar. Saiz polibeg hitam 20″ x 20″ keatas sesuai digunakan untuk menanam betik APM ini. APM adalah singkatan untuk ‘advanced planting material’ atau benih dewasa untuk ditanam. Penggunaan benih cara ini membolehkan kita mendapatkan pokok yang cepat berbuah walau pun ditanam didalam pasu atau dalam polibeg besar. Kalau ditanam dalam pasu besar ia lebih tegap diletak berbanding dengan menggunakan polibeg besar yang perlukan kayu sokongan.
Cara menanam anak benih betik APM ini mudah jika segala persiapan dilakukan. Ambil pasu plastik, pasu biasa atau polibeg semaian hitam yang besar dan isikan dengan media tanaman. Media tanaman sebaiknya adalah dari tanah campuran atau cocopeat atau media tanaman lain yang sesuai. Sediakan lubang penanaman pada pasu atau polibeg dan masukkan anakbenih betik ditengah-tengahnya (Sila lihat foto disebelah). Pastikan ia dipadatkan setelah ditanam dan kemudian lakukan penyiraman, pembajaan dan aktiviti amalan agronomi yang lain. Susun polibeg dengan jarak 5-7 kaki diantara barisan (Sila lihat foto dibawah) dan ianya dialaskan dengan batu bata agari mudah untuk dialihkan untuk elakkan akar pokok betik melekat pada tanah. Pasangkan kayu sokong yang diikat pada pokok betik agar tidak tumbang ditiup angin atau menampung buah yang banyak. Pastikan semua polibeg atau pasu ini akan disusun dikawasan yang mendapat sinaran matahari. Selalu periksa dengan pokok betik ini dimana anakbenih matang akan berbuah tidak berepa lama kemudian. Kalau pokok ini dipasang dengan sistem fertigasi melalui paip dikawasan rumah adalah lebih baik lagi. baja larutan A dan Larutan B disesuaikan dengan peringkat pertumbuhan pokok betik ini. Memang menjadi kepuasan kalau anda memetik buah betik sendiri dikeliling rumah menggunakan teknik ini. Semuga ada dikalangan pembaca blog Anim Agro Technology akan mencuba melakukannya dirumah. Wasallam!!!.
POKOK BETIK… MUDAH MENANAMNYA…
CARA BIASA… ATAS DITANAH SAHAJA…
TEKNIK DIPERKENAL… MUDAH CARA…
ADA YANG BERMINAT…SILA MENCUBA…
By,
M Anem,
Senior Agronomist,
Ladang Betik Agropolitan,
Chemomoi, Bentong,
Pahang, Malaysia.
(30 Zulkaedah 1437H)
Kredit: http://animhosnan.blogspot.com/2016/09/tanam-betik-dalam-polibeg-unik.html