DERETAN manusia yang sanggup beratur panjang di hadapan sebuah premis menjual sup di Bangkok, Thailand itu sering mencuri tumpuan.
Ramai orang sering tertanya-tanya apakah rahsia yang menyebabkan restoran tersebut menerima kunjungan pelanggan yang cukup ramai tanpa mengira waktu.
Restoran yang dikenali sebagai Wattana Panich itu menjual menu sup seperti sup daging lembu dan juga organ lain seperti perut dan hati lembu.
Kepekatan kuah sup serta aromanya yang istimewa menjadikan ia antara restoran paling popular di Bangkok.
Hakikatnya, restoran Wattana Panich telah menyajikan hidangan sup yang sama selama 45 tahun, lapor laman web Oddity Central.
Menurut pemilik restoran itu, Nattapong Kaweenuntawong dia berharap tiga anaknya akan menjadi generasi keempat yang mengikut jejak langkahnya menguruskan restoran itu.
Bagaimanapun, rahsia keenakan itu terletak pada lebihan sup yang tidak pernah dibuang selepas dimasak.
Setiap kali mendapat lebihan sup, ia akan disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan pada keesokan harinya.
Sup sama
Menurut Oddity Central, cara itu telah digunakan selama 45 tahun.
Setiap hari, Nattapong bersama ibunya akan memasak pati sup yang dipanggil neua tune di dalam satu periuk besar.
Bahan asasnya cukup ringkas iaitu perencah sup yang dimasak bersama bawang dan daun sup. Lelaki tersebut kemudian menambahkan daging lembu di dalam sup yang sudah direneh itu.
Selepas menyajikan sup kepada pelanggan, lebihan sup yang ada akan disimpan di dalam peti sejuk dan dipanaskan keesokan harinya.
Bagi menjadikan rasa sup yang disajikan itu unik dan enak, dia juga akan memasak sup tersebut di periuk yang sama sejak 45 tahun lalu.
Jika diperhatikan, di sekeliling periuk besar yang digunakan untuk memasak menu sup kesukaan ramai di Wattana Panich itu terdapat kerak berwarna hitam yang cukup tebal.
Masak lama
Menurut Oddity Central, ia merupakan tumpahan kuah sup yang dimasak di lokasi sama sejak premis tersebut mula beroperasi pada sekitar tahun 1970-an.
Ramai yang menganggap ia sesuatu yang menggelikan, namun, keaslian tersebut yang menjadikan sup sajian restorannya begitu berbeza dan lain daripada yang lain.
Sesuatu menu akan menjadi lebih enak sekiranya dimasak dalam tempoh yang lama.
Makanan biasanya akan menjadi lebih sedap apabila dimasak secara berterusan dalam tempoh yang lama.
Antara menu paling popular di kedai tersebut ialah mi sup daging, mi sup bebola daging dan juga sup perut lembu.
Daging segar dan juga bahan masakan lain seperti daun sup ditambah dan ditukar, namun pes sup tersebut merupakan pes sama sejak empat dekad lalu.
Sebuah kedai sup popular di Thailand dipercayai tidak pernah membuang baki sup yang tidak dijual.