“Rakan-Rakan Saya Memang Kecewa. Saya Janji Pada Semua Saya Akan Terus Baiki Diri” Ini Punca Mamat Masuk Dalam Dadah

Ahad lalu, bekas vokalis Exists, Mamat atau nama sebenar Mohd. Ali Kamaruddin sekali lagi mengejutkan peminat apabila ditahan polis di Taman Perling, Johor atas kesalahan sama. Dia bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis pada petang Selasa lalu dan terus dibawa ke Kuala lumpur pada hari sama untuk fokus terhadap latihan serta persiapan konsert Exists Reunion yang akan berlangsung pada 28 September ini di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor.

Sedar percaturan kelabu yang dilalui, Mamat mengakui penangkapan kali ini berbeza dan memberi impak besar kepada dirinya. Sokongan dan dorongan yang tidak berbelah bahagi daripada anggota dan penganjur konsert Exists Reunion menguatkan tekad dalam dadanya untuk berubah.

Seboleh-bolehnya, Mamat juga mahu kembali normal dan berazam tidak lagi kembali ke kancah ketagihan dadah. Lebih menyentuh hati, lelaki berusia 41 tahun itu mengakui mengambil dadah bagi mengisi kekosongan kehidupan. Melalui hidup sendiri sementelah tiga orang anaknya tinggal bersama bekas isteri menambahkan kesunyian Mamat. Masa terluangnya banyak dihabiskan dengan rakan-rakan yang menjurus ke arah negatif, seterusnya mengundang padah.

Ikuti perbualan bersama Mamat usai sidang akhbar khas konsert Exists Reunion bertempat di Alila Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KOSMO! : Bagaimana dengan keadaan Mamat selepas dibebaskan daripada tahanan reman?

MAMAT: Alhamdulillah, saya berada dalam keadaan yang baik sungguhpun baru sahaja dibebaskan daripada tahanan reman.

Perkara yang berlaku di luar jangkaan dan saya sendiri terkejut kerana tidak sangka perkara ini terjadi semasa konsert Reunion Exists semakin hampir.

Boleh anda ceritakan bagaimanakah kejadian tersebut berlaku dan mengapa anda ditahan pihak polis?

Kes saya masih dalam siasatan polis, jadi saya tidak dibenarkan mengeluarkan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak kerana risau berlaku percanggahan maklumat.

Apa yang boleh saya katakan cuma, penangkapan kali ini sangat berbeza kes penahanan sebelum ini.

Sebenarnya, mengapa anda masih tidak boleh keluar daripada masalah dadah?

Bagi saya, kebanyakan individu yang terjebak dengan dadah semuanya berpunca akibat salah pilih kawan. Sebelum ini, saya ambil dadah hanya untuk seronok-seronok.

Saya mempunyai tiga orang anak tetapi semuanya tinggal bersama ibu mereka. Jadi saya ada banyak masa terluang untuk dihabiskan bersama rakan-rakan dan dari situ saya terjebak dengan perkara-perkara negatif. Kini saya tekad untuk lebih berhati-hati memilih teman.

Adakah insiden kali ini akan mengganggu persembahan anda semasa konsert Exists Reunion nanti?

Insya-Allah saya akan cuba yang terbaik untuk persembahan menjelang konsert. Saya akan pastikan diri saya sihat, penuh persediaan dan memberi sehabis baik untuk peminat yang selama ini tidak putus-putus mendoakan kesejahteraan saya.

Kini saya dalam usaha pulihkan diri untuk mengawal masalah yang sedang dihadapi bagi memastikan yang dirancang akan berjalan dengan sempurna.

Bagaimanakah penerimaan anggota kumpulan yang lain apabila mereka mengetahui anda ditangkap atas kesalahan dadah?

Saya ingin memohon maaf kepada anggota kumpulan Exists Reunion atas apa yang berlaku.

Memang diakui mereka sedikit kecewa, tetapi semangat persahabatan yang ditunjukkan membuat saya begitu kuat untuk berubah.

Mungkin sebelum ini kes penangkapan saya bersifat peribadi, tetapi kejadian terbaharu berlaku hampir dengan tarikh konsert secara tidak langsung melibatkan ramai pihak termasuk penganjur.

Sokongan yang diberikan amat saya perlukan untuk terus kuat mengharungi masalah ini.

Apakah bantuan dan usaha yang akan anda lakukan untuk pulih daripada masalah dadah?

Sejujurnya saya sudah mula berusaha untuk berubah sejak setahun lalu. Namun, kes Ahad lalu membuatkan saya nekad untuk menjalani rawatan pemulihan untuk bebaskan diri daripada masalah yang membelenggu diri sejak sekian lama.

Ini adalah permintaan saya sendiri yang mahu hidup bebas daripada dadah. Bukan bermakna sebelum ini saya tidak ada keinginan untuk masuk pusat pemulihan, tetapi ketika itu saya tidak ada sokongan dan dorongan daripada orang sekeliling.

Apakah nasihat anda kepada pendatang baharu industri seni tentang isu penyalahgunaan dadah?

Untuk artis baharu, jauhi diri daripada terlibat dengan masalah dadah. Tolong berhenti mengambil apa-apa bahan yang boleh mengkhayalkan fikiran kerana boleh membawa kemudaratan pada masa akan datang.

Semua keputusan dan tindakan bergantung kepada individu itu sendiri untuk memilih mana yang baik dan buruk. Oleh itu, pilihlah kehidupan yang sihat bebas daripada dadah.

(Visited 157 times, 1 visits today)