“Ramai Juga Kenalan Yang Ingin Menawarkan Calon Isteri, Tetapi Masih Terlalu Awal”

Hulu Terengganu: “Saya mahu lupakan episod lalu kerana mahu beri fokus kepada kehidupan sekarang selepas sudah 20 tahun perancangan hidup tertangguh kerana berada di penjara.”

Begitu kata Awie, 49, (bukan nama sebenar) yang sebelum ini menjalani hukuman penjara sepanjang hayat mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma’unah pada 2000.

Bagaimanapun, selepas 20 tahun, anak kelahiran Kuala Berang itu dibebaskan awal selepas mendapat perkenan pengampunan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Hari Kebangsaan ke-63 pada 17 Ogos lalu.

Awie berkata, dia mempunyai kemahiran menjahit dan mengukir yang dipelajari ketika menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang dan Penjara Marang.

“Insya-Allah, sekiranya ada peralatan yang mencukupi untuk menjahit atau mengukir dan memperoleh tempahan, saya boleh meneruskan pekerjaan itu di rumah.

“Tetapi sekarang peralatan untuk menjahit dan mengukir pun tiada, oleh itu tidak boleh lagi memulakan pekerjaan itu walaupun sudah ada penduduk yang ingin membuat tempahan mengukir,” katanya.

Awie berkata demikian ketika ditemui pada program Lawatan Prihatin Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim ke rumahnya Kampung Batu 24, Kuala Berang, di sini, semalam.

Katanya, di samping membabitkan diri dengan kegiatan kemahiran itu, dia juga akan menceburi bidang penternakan.

“Alhamdulillah, hasil bekerja sebagai tukang jahit dan pengukir di penjara, saya berjaya menyimpan sedikit wang.

“Biarpun tidak banyak jumlah simpanan, tetapi ia boleh digunakan untuk memulakan kegiatan penternakan seperti membina kandang lembu.

“Saya berminat untuk menternak lembu dan boleh memulakannya secara kecil-kecilan dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu,” katanya.

Artikel Berkaitan   Kisah Sedih “Si Hitam” Yang Setia Tunggu Pemiliknya Datang Tapi Sebenarnya Sudah Berpindah

Bercerita mengenai perancangannya untuk berumah tangga, katanya, dia memang menyimpan hasrat untuk berkahwin, tetapi bukan dalam tempoh terdekat.

“Sejujurnya sebelum ditahan pada 2000, saya memang merancang untuk berkahwin dengan bekas teman wanita.

“Namun, perancangan itu tidak kesampaian, malah bekas teman wanita juga difahamkan sudah berkeluarga dan mempunyai cucu.

“Ramai juga kenalan yang ingin menawarkan calon isteri, tetapi masih terlalu awal untuk memikirkan soal jodoh, tetapi saya tidak menolak takdir sekiranya jodoh itu sampai,” katanya.

kredit harian metro