Ratusan Penduduk ‘Merampas’ Jenazah Lelaki Yang Mahu Dikebumikan Petugas Perubatan

MAKASAR: Kecoh apabila ratusan penduduk Jeneponto di Sulawesi Selatan ‘merampas’ jenazah seorang lelaki yang mahu dikebumikan petugas perubatan di kawasan perkuburan.

Ia selepas mereka percaya bahawa lelaki itu mati bukan disebabkan Covid-19, tetapi akibat tertusuk batang pokok merunggai.

Portal Kompas melaporkan ahli keluarga tidak berpuas hati apabila pasukan perubatan mahu mengebumikan jenazah mengikut prosedur operasi standard (SOP) pesakit Covid-19.

“Kematian ini disebabkan tertusuk batang kelor (merunggai) namun dikatakan akibat Covid-19. Jadi kami menolaknya (untuk dikebumikan mengikut SOP Covid-19),” kata ahli keluarga si mati yang dikenali sebagai Caya, 40.

Menurut Ketua Bahagian Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Pejabat Kesihatan Daerah, Jeneponto Suryaningrat, ahli keluarga si mati menunggu di luar pekarangan lokasi pengebumian dengan senjata tajam.

Anggota polis yang mengawal keselamatan petugas kesihatan di lokasi berkenaan juga tidak mampu berbuat apa-apa.

Akhirnya jenazah lelaki berusia 69 tahun itu berjaya dibawa keluar dari tempat pengebumian.

Malah, ada antara anggota keluarga si mati juga nekad membuka keranda.

Difahamkan, pesakit itu dilaporkan mengalami sakit perut selepas tertusuk batang merunggai sebelum dibawa keluarganya ke Rumah Sakit Umum Daerah (RSUD) Lanto Daeng Pasewang Jeneponto untuk rawatan lanjut pada 1 Julai lalu.

Menurut Tribunnews, Ketua Polis Jeneponto, AKBP Ferdiansyah memaklumkan, pihaknya sudah mengenal pasti tujuh individu yang melakukan provokasi dalam insiden berkenaan.

Katanya, polis juga sudah mengenal pasti individu yang membuka keranda jenazah berkenaan dan semua mereka kini dicari untuk siasatan lanjut.

kredit harian metro

Artikel Berkaitan   “Alkohol Di Dalam Tin Itu Meletup Sebaik Sahaja Kami Nyalakan Api” Remaja Dikejarkan Ke Hospital Angkara Bertih Jagung