Rawat Demam Denggi, Sistem Pencernaan, Senggugut… Inilah Manfaat Daun Betik Yang Ramai Tidak Tahu

5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu 

Buah betik memang sedap. Saya boleh habiskan sebiji betik sambil tonton televisyen. Bukan saja sedap, ia kaya dengan vitamin A dan C.
Tapi, bagaimana pula dengan daunnya?

Generasi terdahulu makan saja pucuk betik dibuat ulam. Saya pernah mencuba pucuk betik celur, rasanya mak datuk, pahit sangat. Berkerut muka saya menahannya.
Sepahit-pahit pucuk betik, khasiatnya banyak. Ia telah digunakan secara tradisional untuk mengubat denggi dan malaria.

Di sini saya catatkan 5 khasiat daun betik yang anda mungkin tak tahu:

1. Penawar tradisional demam denggi.
Bacaan platlet darah pesakit denggi kurang daripada orang yang sihat. Ini akan membahayakan tubuh kerana platlet amat penting untuk pembekuan darah. Keberkesanan daun betik dalam membantu merawat denggi tak dapat disangkal. Penyelidikan yang diketuai oleh Dr. Soobitha Subenthran bersama Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang telah mendapati jus daun betik dapat meningkatkan bilangan sel platlet darah dalam tubuh seorang pesakit denggi.

2. Meredakan masalah pencernaan.
Daun betik mempunyai khasiat antibakteria. Ia boleh mengawal serangan bakteria yang menyebabkan masalah sakit perut. Daun betik mengandungi papain, enzin protease dan enzim amilase yang membantu mencerna protein, karbohidrat dan memperbaiki saluran pencernaan.

3. Meningkatkan sistem imun.
Daun betik kaya antioksida yang meningkatkan sistem kekebalan dan mampu mengurangkan risiko sakit jantung, strok dan kanser.

4. Ubat jerawat
Daun betik tua yang kering boleh dijadikan skrub dan membantu menghilangkan jerawat pada wajah. Kisar daun bersama air dan sapu pada kulit yang berjerawat. Biarkan kering. Cuci hingga bersih.

5. Mengurangkan senggugut
Jus betik boleh membantu mengurangkan simptom senggugut. Ambil 6-7 helai daun betik, rebus bersama 1 liter air selama 15 minit. Sejukkan dan tambah bersama apa apa jus buah-buahan yang anda suka.

Artikel Berkaitan   Betul Ke Selama Ni Kita Simpan Susu Untuk Bayi Dengan Elok? Tersalah Cara Kesian Kat Bayi Minum Kuman

Sekarang ni saya tengah merenung pokok betik belakang rumah, sambil berfikir samada nak cuba buat jus daun betik atau tak.
Hmmm… nampaknya saya ni penakut pahit. Mungkin lain kali lah – Via Kebun Belakang Rumah

UPDATE:

Jus daun betik masih dikaji

Putrajaya: Kementerian Kesihatan masih menjalankan kajian berhubung kegunaan jus daun betik sebagai penawar demam denggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, kajian klinikal oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) terhadap jus daun betik di dalam pesakit denggi (denggi tidak berdarah dan denggi berdarah kelas satu) menunjukkan pengambilan 30 mililiter (ml) atau dua sudu besar jus daripada dua daun betik matang setiap hari, selama tiga hari menaikkan jumlah platelet.

“Peningkatan platelet ini hanya satu daripada pelbagai proses yang berlaku dalam pesakit yang menghidapi demam denggi.

“Kajian masih lagi diadakan berkaitan kegunaan jus daun betik bagi demam denggi. Pihak kementerian juga tidak menyediakan jus daun betik di hospital kerajaan,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pokok betik tergolong dalam kumpulan ‘cyanogenesis’ lemah iaitu yang menghasilkan hidrogen sianida (hydrogen cyanide) dalam kuantiti sedikit [terdapat 0.02 miligram (mg) sianida dalam empat helai pucuk daun betik dan jumlah ini berkurangan apabila daun itu bertambah matang].

Katanya, dos sianida paling rendah untuk memudaratkan manusia adalah sebanyak satu mg bagi setiap kilogram (kg) berat badan.

Oleh itu, katanya, seseorang yang mempunyai berat badan 60 kg memerlukan 12,000 helai daun betik pada satu masa untuk mengakibatkan keracunan.

“IMR sudah menjalankan kajian keselamatan dengan mengenakan dos tertinggi 2,000 mg bagi setiap kg berat badan diuji dalam haiwan makmal.

Artikel Berkaitan   Idea Bisnes Kerepek & Makanan Ringan Yang Mampu Jana Pendapatan Lumayan

“Dalam kajian ini, tiga jenis cara pengambilan digunakan iaitu satu dos sahaja, satu dos setiap hari selama 28 hari dan satu dos setiap hari selama 90 hari, hasilnya didapati tiada kesan sampingan didapati pada buah pinggang, hati dan jantung.

“Keputusan ujian darah pula adalah normal sementara kajian khusus ke atas hati (kajian hepatotoksiti) juga adalah normal,” katanya Via Harian Metro