Restoran Jijik Dan Kotor, Hurungan Tikus, Lipas Dan Bangkai Tikus Di Premis Makanan Di Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Najis dan bangkai tikus antara yang ditemui di dapur beberapa buah restoran di Pulau Pinang, dalam operasi dijalankan Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), pada Khamis.

Pegawai Kesihatan Persekitaran MBPP M. Bawani berkata daripada enam premis yang diperiksa, tiga premis diarahkan tutup selama 14 hari, manakala tujuh kompaun telah dikeluarkan sepanjang operasi empat jam itu.

“Kita telah menjalankan prosedur penutupan premis dan mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM420. Kita juga disertai pegawai Jabatan Perkhidmatan Perbandaran MBPP, yang telah mengeluarkan kompaun bernilai RM500, atas kesalahan membuang sisa ke dalam sistem saliran awam.

“Penutupan premis ini kerana kita jumpa hurungan tikus, lipas dan bangkai tikus di premis makanan, serta wujudnya pencemaran silang,” katanya kepada pemberita selepas menjalankan pemeriksaan di premis-premis makanan sekitar bandar raya George Town, di sini pada Khamis.

Beliau berkata pihaknya akan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan susulan ke atas premis terbabit, bagi memastikan pemilik premis mengambil langkah-langkah wajar, untuk memperbaiki kesalahan mereka.

Dalam pada itu, Bawani berkata sebuah restoran nasi kandar terkenal di Jalan Gurdwara, di sini turut dikenakan dua kompaun atas kesalahan meletakkan bahan masakan mentah di atas lantai, selain wujud pencemaran silang pada makanan yang siap dimasak.

“Kita dapati masih ada kotoran (najis ayam) pada kulit telur rebus. Telur yang belum dikupas juga direndam sekali dengan telur yang telah dikupas, yang mampu menyebabkan berlakunya keracunan makanan,” katanya.

Beliau berkata sejak 1 Nov tahun lepas, MBPP telah menjalankan lapan operasi membabitkan pemeriksaan ke atas 28 premis dan daripada jumlah itu 21 premis makanan diarahkan tutup, serta 33 kompaun bernilai RM2,500 dikeluarkan.

Artikel Berkaitan   Lahar Tasik Berapi Paling Luas Dijumpai Di Benua Antartika, Saintis Sah Ia Benar!

Tambahnya, pihaknya kini giat menjalankan operasi pada setiap minggu, bagi menjamin keselamatan dan kebersihan makanan, selain mewujudkan kesedaran kepada semua pengusaha premis makanan di sekitar Pulau Pinang.

— BERNAMA