Risteena Terlibat Dalam Kemalangan Bersama Keluarganya, Ibunya Patah Anggota Dan Bapanya Bengkak

Pelakon, Nur Risteena Munim,30, telah mengalami satu kemalangan jalan raya bersama keluarganya sekitar pukul 2 pagi pada Sabtu, 15 September.

Menerusi satu status di laman Instagramnya, Risteena berkata kejadian yang berlaku di berhadapan Institut Jantung Negara, Jalan Tun Razak itu disebabkan sebuah kereta yang muncul secara tiba-tiba di hadapan kenderaan Kia Sportage yang dipandu oleh adiknya, Riesya Sharmin.

“Kami dalam perjalan pulang ke rumah selepas menyambut hari lahir bapa ketika insiden terjadi.

“Sebuah kereta jenis MyVi muncul melawan arus dari arah hadapan jadi adik saya tidak sempat menekan brek kerana jarak terlalu dekat. Akibatnya hentakan kuat berlaku dan kereta kami rosak teruk,”katanya lagi.

Tambah pelakon Girlfriend Kontrak itu lagi, dia tidak mengalami sebarang kecederaan serius namun lebih risaukan ibu bapa serta adik-adiknya.

“Ibu, Che Bunga Salleh patah pergelangan tangan manakala kepala ayah, Zainul Ilyas, bengkak kepala.

“Terima kasih untuk semua yang bertalu-talu menghantar mesej bertanyakan keadaan kami sekeluarga. Doakan kami semua cepat sembuh dari trauma ini,”ujarnya lagi.

Satu laporan polis sudah dibuat oleh keluarga Risteena di Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee selepas kemalangan itu. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Suami Isteri Dikecam Hebat Warganet Gara-Gara Memaksa Anak Kecil Mereka Makan Dalam Kuantiti Yang Banyak.