Ruang Sempit Tapi Hasil Lumayan! Wanita Ini Kongsi Tips Tanam Sayur Di Halaman Rumah

Kebun bandar hasil lumayan

KUANTAN: Bertukar daripada menanam bunga sebagai hiasan kepada tanaman sayur-sayuran di rumahnya di sebuah taman perumahan di Sungai Karang Darat, berbaloi bagi Noor Harmauzailatulisa Md Yusuff.

Noor Harmauzailatulisa, 33, seorang penjawat awam, menggunakan sepenuhnya tanah di sebelah rumah berkembar seluas 90 meter persegi untuk menanam pelbagai jenis sayur sejak empat bulan lalu.

Hasilnya amat memberangsangkan kerana bukan saja beliau menghasilkan lanskap sayur-sayuran yang unik di rumahnya, tetapi juga mampu menggunakan sendiri dan berkongsi dengan jiran hasilnya.

Beliau juga menanam sayur-sayuran itu ala lanskap tertentu supaya nampak cantik dan teratur.

Usaha itu dilakukan selepas suaminya mencabar supaya dia menanam pokok yang boleh dimakan hasilnya berbanding pokok hiasan lain.

Pembantu Penguasa Kastam Bahagian Perkhidmatan Teknik Jabatan Kastam Diraja Malaysia cawangan Pahang, ini turut berkongsi rezekinya itu dengan jirannya.

TANAH seluas 90 meter persegi digunakan sepenuhnya untuk menanam pelbagai jenis sayur. – Farizul Hafiz Awang
Katanya, beliau mula mengusahakan kebunnya itu hampir lima bulan lalu dan mengeluarkan hasil seperti jagung, sawi, terung, tomato, cili, petola, timun, daun kesum, pokok kucai, bendi, bayam dan kailan yang dapat dinikmati ahli keluarganya.

“Ia menjimatkan perbelanjaan keluarga dan apabila hasilnya terlalu banyak sehingga melebihi keperluan kami, kami beri kepada jiran, seronok dapat lihat rezeki ini dapat dikongsi bersama jiran lain.

“Ada juga mencadangkan supaya sayur itu dijual tetapi biarlah buat masa ini hanya untuk kami dan jiran-jiran makan,” katanya ketika ditemui BH di sini, semalam.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia mendapat idea menghasilkan kebun sayur berkonsepkan taman berkenaan kerana minatnya melakukan dekorasi sama seperti menghias rumah supaya ia kelihatan cantik serta sedap mata memandang.

“Saya memang minat bercucuk tanam sejak kecil lagi dan sebelum ini saya hanya menanam bunga, banyak sangat bunga di laman rumah kami sehingga suami bagi amaran serta minta tanam tanaman boleh keluarkan hasil (untuk dimakan) pula.

KERJA menyiram sayur kebiasaannya bermula seawal jam 6.30 pagi .

ANTARA hasil tanaman Harmauzailatulisa adalah seperti jagung, sawi, terung, tomato, cili, petola, timun, daun kesum, pokok kucai, bendi, bayam dan kailan.

“Saya cuba cari kelainan dengan menggunakan barang terpakai seperti botol sabun mencuci baju yang menjimatkan kos membeli pasu, selain beli sendiri saya dapat botol itu daripada rakan yang memberikannya,” katanya.

Sebagai seorang ibu dan bekerja, Noor Harmauzailatulisa harus bijak membahagikan masa untuk menguruskan kebunnya dan lazimnya dia akan menyiram bunga selepas solat subuh setiap hari.

“Memang kena curi-curi masa, saya biasanya menyiram sayur seawal jam 6.30 pagi sebelum menghantar anak ke sekolah dan ke pejabat di Indera Mahkota, balik dari kerja saya kembali ntuk menyiram serta memeriksa keadaannya mulai jam 4.30 petang sehingga 7 petang.

“Ia harus disiram hari-hari bagi mengelakk4nnya layu, kalau saya balik kampung ada jiran membantu menyiramnya, anak-anak pun ada bantu,” katanya.

Noor Harmauzailatulisa berkata, dia menggunakan baja dan tanah sesuai selain racun organik yang bancuhannya membabitkan bahan seperti bawang putih, minyak masak, cili api, sabun basuh serta air.

KEDIAMAN Harmauzailatulisa yang unik kerana landskapnya dihiasi dengan sayur-sayuran berbanding pokok hiasan.

HARMAUZAILATULISA mula mengusahakan kebunnya selepas dicabar suaminya supaya menanam pokok yang boleh dimakan hasilnya berbanding pokok hiasan. – Farizul Hafiz Awang
“Dari segi penggunaan tanah, saya mencampurkan tanah organik, tanah hitam dan sabut kelapa serta baja tahi ayam dan siraman air baja AB, formula racun organik itu saya peroleh daripada Google yang menjadi rujukan,” katanya.

Kejayaan mengusahakan kebun sayur berkonsepkan taman itu menarik perhatian pelbagai pihak termasuk Jabatan Pertanian yang akan menyalurkan bantuan dari segi tanah, baja serta benih sayur bagi menjayakan program kebun bandar.

“Terkejut juga dengan sambutan daripada orang ramai selepas kebun sayur saya menjadi viral di media sosial terutama melihat artikel berkenaan dikongsi serta disukai oleh ribuan orang.

“Macam artis pun ada sekarang ini, telefon saya sampai ‘hang’ dan perlu dicaj banyak kali kerana ramai cuba menghubungi saya terutama di Facebook,” katanya.

Sumber: Berita Harian

(Visited 58 times, 1 visits today)