Rupanya Tugas Terakhir Anggota Polis Ini Berakhir Selamanya Gara-Gara Maut Langgar Lembu

PADANG BESAR – Seorang konstabel polis maut apabila motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu yang sedang melintas jalan.

Ketua Polis Padang Besar, Superintendan Muhamad Halim Yatim berkata, mangsa, Mohamad Shahrul Izhar Ishak, 30 cedera parah di bahagian kepala dan maut di lokasi kejadian.

Menurutnya, hasil siasatan awal mendapati kemalangan ini melibatkan sebuah kenderaan sahaja iaitu motosikal jenis Honda EX5.

“Mangsa dikatakan baru sahaja tamat tugas di Kilometer 24 Agensi Keselamatan Sempadan (Aksem) Chuping dan hendak pulang ke rumahnya di Beseri.

“Apabila sampai tempat kejadian di Kilometer 28.5 Jalan Padang Besar – Bukit Keteri, motosikal ditunggang mangsa dipercayai melanggar seekor lembu lalu terjatuh di atas jalan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Halim berkata, mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.