Sasha Saidin, Kakak Zain Saidin Tamatkan Zaman “Bujang” Dengan Pilihan Hati

PELAKON dan penyanyi Sasha Saidin sah bergelar isteri kepada Sirhan Wahab, 43, dengan sekali lafaz dalam majlis pernikahan di The Sanctuary, Kuala Lumpur jam 9.28 malam tadi.

Sasha, 43, atau nama sebenarnya Sasha Mohd Saidin dinikahkan adiknya juga pelakon, Zain Saidin di hadapan keluarga dan rakan terdekat.

Pada majlis itu, Sasha menerima mas kahwin RM1,000 berserta tiga dulang hantaran daripada pihak lelaki dengan wang hantaran RM10,000, manakala pihak perempuan menyerahkan lima dulang.

“Alhamdulillah, majlis dirancang berjalan lancar. Maka, bermula sudah fasa baharu dalam hidup dan inilah yang dikatakan jodoh.

“Seperti perkahwinan terdahulu, saya tetap teruja dan tidak gementar. Malah, untuk majlis kali ini saya sudah tahu nak buat apa,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu adalah rakan anggota Elite termasuklah Azza Zawari, Linda Rafar, Watie Sadali, dan Rozita Che Wan

Semalam, Sasha mengadakan majlis ringkas khatam Al-Quran.

Terdahulu, dia mengumumkan bakal mendirikan rumah tangga untuk kali ketiga dengan jejaka berstatus duda dikenali sebagai Mr W selepas lapan tahun bergelar ibu tunggal.

Sasha yang juga anggota kumpulan Elite pernah berkahwin dengan Johan Abdullah Skinner pada 2003 namun bercerai empat tahun kemudian.

Pada 2007, dia berkahwin dengan warganegara Indonesia, Salyo Priyanto dan bercerai pada 2012.

Hasil perkahwinan dengan Salyo, mereka dikurniakan seorang anak lelaki iaitu Adam Aryasenna Notosoemarsono, 11.

Artikel Berkaitan   10 Jenis Solat Yang Tidak Diterima Allah. Baca Supaya Ibadah Solat Kita Tidak Sia-Sia..