“Saya Dah Buat Aduan Kepada Pihak Bertanggungjawab, Saya Ni Ibarat Tinggal Dalam Pulau”

Sebuah keluarga bingung dan menyifatkan mereka ibarat tinggal di tengah-tengah pulau apabila rumah yang dibina di Kampung Kelemak berhampiran kawasan perindustrian di sini ditenggelami air termenung sejak dua minggu lalu.

Siti Badariah Othman, 53, berkata, masalah itu dihadapi sejak tahun lalu setiap kali hujan lebat berterusan dan pihaknya telah membuat aduan kepada pihak-pihak terlibat termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung, Majlis Perbandaran Alor Gajah, Jabatan Tanah dan Jabatan Kerja Raya.

Katanya, bagaimanapun sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan dilakukan dan keluarganya terpaksa menanggung kerugian mencecah RM50,000 bagi kerja-kerja penambakan tanah, kerosakan binaaan rumah dan tanaman.

“Kami ibarat tinggal di tengah-tengah pulau dengan keadaan rumah yang dikelilingi air termenung kira-kira dua minggu.

“Pelbagai surat dan aduan telah dibuat, namun tiada tindakan diambil oleh mana-mana pihak malah semua seperti melepaskan tangan dengan menunding jari antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Mengulas lanjut, dia berkata, kejadian itu dipercayai berlaku selepas pembetung sedia ada dan saliran sungai di kawasan itu tersumbat akibat aktiviti pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya merayu agar pihak-pihak bertanggungjawab memandang serius perkara ini kerana saya sekeluarga bukan sahaja berdepan dengan kerugian tetapi risiko keselamatan.

“Sehingga kini kami sekeluarga tidak berani memasuki rumah kerana bimbang terdapat bermacam haiwan berbisa, selain bau air termenung yang busuk,” katanya dan laporan polis juga telah dibuat.

Katanya, rumah itu kini digunakannya sekeluarga pada setiap hujung minggu apabila pulang ke kampung dari kediaman utama di ibu kota Kuala Lumpur.

(Visited 7,686 times, 1 visits today)