“Saya Gembira Mereka Menghiburkan, Dalam Masa Yang Sama Memberi Peringatan Kepada Kita Tentang Akhirat”

PENDEKATAN busking selawat dan qasidah menjadi antara usaha kumpulan Persatuan Pengajian Sri Rahmat Nurusa’adah Tangkak menyebarkan keindahan Islam terutama dalam kalangan remaja.

Gaya dan persembahan mereka berselawat di tempat terbuka termasuk pasar tani dan pasar malam jelas menarik perhatian siapa sahaja yang melihatnya.

Buskers berkopiah sambil memukul beberapa alat muzik termasuk darbuka, tamburin dan marakas serta bersalawat dengan gaya tersendiri turut menarik perhatian pengunjung untuk menyumbang derma ikhlas kepada kumpulan berkenaan.

Terbaharu kumpulan terbabit yang mengadakan persembahan di Pasar Tani Alor Gajah, hari ini, turut memberi impak besar terhadap suasana ceria di pekan berkenaan.

Ketua kumpulannya, Redha Mohamad berkata, kelainan busking terbabit antara lain untuk mengajak remaja terutama pelajar sekolah rendah dan menengah terbabit dengan aktiviti agama.

“Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang berusia 13 hingga 18 tahun sambil dibantu beberapa ahli berpengalaman.

“Kami sering mengadakan busking di sekitar Johor, Shah Alam, Kuala Lumpur dan Melaka termasuk di pasar minggu. Pada masa sama kami juga cuba mencari dana bagi pembukaan dua surau di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Menurutnya, melalui sumbangan yang diperoleh pihaknya percaya dapat nemampung pembinaan dua surau di Sabah dan Sarawak yang sedang rancak dalam pembinaan.

Anggota kumpulan itu, Nordin Shah, 37, berkata, selain bertujuan mendidik kumpulan itu gembira kerana turut mendapat penyertaan remaja.

Katanya, mereka juga tidak janggal menyampaikan qasidah di tempat umum termasuk di Jalan masjid India sebelum ini.

Malah penyertaan mereka mengelak remaja daripada terbabit dengan aktiviti tidak berfaedah termasuk rempit dan penyalahgunaan dadah.

Artikel Berkaitan   Remaja Terlibat Kemalangan M4ti Di Tempat Kejadian, Lebih Menyedihkan Dia Sedang Bawa Air Ketum Untuk Dijual