“Saya Harap Sebelum ‘Tutup Mata, Sempatlah Lihat Wajah Dan Hukuman Pembunuh Anak Saya Itu”- Ibu Mangsa MH17

ALOR GAJAH: “Saya harap sebelum ‘tutup mata’ (meninggal dunia), sempatlah lihat wajah dan hukuman diterima pembunuh anak saya itu,” kata Maimoun Sarpan, 79, ibu kepada Allahyarham Mohamad Ghafar Abu Bakar, seorang daripada 298 mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat MH17 milik Penerbangan Malaysia (MAS) lima tahun lalu.

Allahyarham Mohamad Ghafar adalah Ketua Pramugara MAS yang terkorban dalam insiden berkenaan.

Maimoun berkata, apa lagi mampu diharapkan selain keadilan diterima si pelaku yang menembak jatuh pesawat berkenaan.

“Kalau hendak cerita soal sedih memang tidak pernah habis. Berita di akhbar, televisyen semua dah tak larat nak ikut. Umur pun semakin tua, badan semakin tak larat.

“Sekarang ini saya hanya mampu berdoa semoga sempatlah lihat wajah dan hukuman diterima si pembunuh sebelum ‘tutup mata’,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sri Tanjung, Masjid Tanah, di sini semalam.

Maimoun berkata, beliau dan suami, Ismail Salleh, 80, hanya mampu berdoa kepada Allah tatkala perasaan rindu menyelubungi hati.

“Alhamdulillah, berkat doa, mengaji dan sentiasa ingat bahawa Allah lebih menyayangi anak-anak, perasan kemurungan itu dapat diatasi.

“Hanya Allah sahaja tempat nenek mengadu dan berserah kerana semua yang berlaku atas kehendakNya juga,” katanya yang menghidap masalah saraf.

Maimoun berkata, bukanlah mudah untuk menghadapi dugaan kehilangan dua anak lelaki yang masih muda secara tiba-tiba.

“Saya cuma ada tiga anak, dua lelaki dan seorang perempuan. Mohamad Ghafar anak sulung dan anak kedua Suhaimi juga meninggal dunia di luar negara akibat kemalangan jalan raya pada 2001 ketika usianya baru 28 tahun ketika itu.

“Jadi dua-dua anak lelaki saya meninggal dunia dalam nahas secara tiba-tiba. Perasaan sedih memang sukar diungkap,” katanya yang bersyukur mempunyai seorang lagi anak, Suzana, 53, menantu, Normi Abdullah, 54, dan enam orang cucu.

(Visited 715 times, 1 visits today)