“Saya Ibu Karl, Tidak Mungkin Saya Terlalu Bodoh Untuk Mendera Anak Sendiri” Netizen Kecam Elvina Mohamad

Niat pelakon, Datin Elvina Mohamad untuk bergurau dengan anaknya, Karl Mateen yang baru berusia lapan bulan baru-baru ini telah mencetuskan sedikit kontroversi apabila peminat beranggapan perbuatannya itu sesuatu yang berlebihan.

Tindakan Elvina atau nama sebenarnya, Norzalina Mohamad, 24, mengikat tangan dan kaki Karl dengan pita pelekat dan memuat naik fotonya ke Instagram telah membuatkan dirinya dikecam teruk oleh netizen.

Bagaimanapun, pelakon drama Isteri Untuk Diiktiraf itu menegaskan, tindakan tersebut sekadar gurauan dan pita pelekat yang digunakan tidaklah diikat terlalu ketat pada anaknya.

Terkejut didakwa mahu mendera anak sendiri, Elvina menganggap tuduhan tersebut sebagai melampaui batas sedangkan khalayak tidak tahu situasi sebenar yang berlaku.

KOSMO!: Bilakah sebenarnya Elvina mengikat tangan dan kaki anak dengan pita pelekat tersebut?

ELVINA: Situasi itu berlaku ketika kami sekeluarga berada di hospital kerana melawat bapa mertua yang sakit. Perbuatan itu hanya satu tindakan spontan dan tiada sebarang niat. Malah, saya rasakan raut wajah anak saya pada ketika itu comel, bukannya saya sengaja mahu mendera.

Apakah yang anda fikirkan apabila dituduh cuba mendera anak?

Saya terkejut kerana tidak faham kenapa netizen cepat sangat menghukum. Saya ibu Karl, tidak mungkin saya terlalu bodoh untuk mendera anak sendiri dan memuat naik ke laman Instagram. Bagi saya, tuduhan itu sangat melampau dan mengguris hati.

Apakah antara komen paling teruk yang ditinggalkan peminat apabila anda memuat naik gambar tersebut?

Ada antara mereka mengugut untuk melaporkan perkara itu kepada polis.

Namun, saya tidak membalas mesej berkenaan kerana tidak mahu isu ini terus diperbesarkan. Kalau betul hendak laporkan kepada polis, buatlah. Saya boleh bawak Karl ke balai bila-bila masa sahaja.

Mengapakah anda memilih untuk mendiamkan diri?

Saya sudah muak dan penat melayan perangai netizen yang tidak habis-habis mencari salah selebriti. Semuanya tidak kena, jadi biarlah kalau mereka rasa mereka betul, saya biarkan sahaja asalkan tidak melampaui batas.

Adakah gambar itu masih ada dalam Instagram anda?

Gambar itu sudah dipadamkan oleh pihak Instagram kerana ramai yang melaporkannya sebagai foto yang tidak sesuai dimuat naik dalam platform berkenaan. Biarlah, saya tidak kisah pun kerana saya tidak buat sebarang kesalahan.

Adakah selepas ini, anda akan lebih berhati-hati memilih foto untuk dimuat naik ke laman Instagram?

Saya rasa apa sahaja yang saya lakukan pasti akan menjadi titik punca netizen mencari alasan untuk mengecam. Saya akan berkongsi apa yang dirasakan okey dan mahu jadikan kenangan, lagipun ini bukan kali pertama saya dikecam.

(Visited 528 times, 1 visits today)