“Saya Ini Bukanlah Patung Yang Tak Ada Hati Dan Perasaan. Saya Nak Tanya, Perlu Ke Kita Tunjuk Sifat Marah Tanpa Sebab?”

Nama Baby Shima kembali panas. Sebelum ini, penyanyi lagu Pura-Pura Bujang itu pernah dimarahi Mas Idayu kerana tidak dapat menyanyi dengan baik ketika menyertai program realiti, D’ Academy Asia musim ketiga di Jakarta, Indonesia.

Antara dialog Mas Idayu yang menjadi viral ketika itu berbunyi: “Ada nampak mommy happy?”

Namun, itu cerita dua tahun lalu. Cerita tentang kesulitan Shima membina perisai kerjaya seni sendiri.

Kini, Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli, boleh tersenyum bangga apabila karier seninya di Indonesia berjalan mulus. Akui Shima, sokongan masyarakat Indonesia merupakan antara senjata ampuh untuk dirinya melangkah maju kendatipun dirinya terpalit beberapa siri kontroversi termasuk dengan usahawan sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri, baru-baru ini.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dilayan baik di sini (Indonesia) dan mereka juga menerima dan menghargai bakat seni saya dan tidak pernah menganggap saya orang luar. Saya berharap langkah ini berterusan dan tidak terhenti separuh jalan,” ujar penyanyi berasal dari Johor Bahru itu penuh harapan.

Maruah

Ironi, dalam hayunan langkahnya, terkadang dia tersadung juga. Begitulah yang terjadi baru-baru ini apabila namanya kembali diperdebatkan netizen.

Semuanya gara-gara komennya terhadap mutu suara Aliff dan ia kemudiannya dibalas kembali oleh usahawan kosmetik dan penyanyi itu sehingga berlarutan ke adegan perkelahian di sidang akhbar pelancaran lagu terbaharu Aliff di Indonesia.

Tak segan dia memberitahu, tiada salahnya dia menunjukkan amarah demi tidak diperkotak-katikkan dengan sewenang-wenangnya.

“Saya ini bukanlah patung yang tak ada hati dan perasaan. Saya nak tanya, perlu ke kita tunjuk sifat marah tanpa sebab? Saya ini diam-diam juga, tapi jangan sampai orang pijak kepala dan malukan maruah saya. Jadi, jangan harap saya akan terus diam dan tersenyum membiarkan orang buli kita,” ujarnya dengan nada kecewa.

Artikel Berkaitan   Mira Filzah Berpakaian Pink Serba Ayu Selesai Majlis Khatam Al-Quran

Cukup dia menekankan, kemelut yang berlaku di antara dia dan Aliff bukan gimik yang direka-reka.

“Terserah pada masyarakat yang menilainya. Kejadian ini tak berlaku pada mereka kerana yang laluinya saya. Apa yang pasti saya rasa kecewa dengan pernyataan Datuk (Aliff) dan rasa terhina,” ujarnya dalam nada tegas tanpa perlu menerangkan lagi apa yang berlaku pada sidang akhbar tersebut kerana umum sudah mengetahuinya menerusi video yang tersebar.

Sakit

Percaya dengan konsep kompromi, Shima berharap jutawan kosmetik itu dapat membuat pemohonan maaf selain tidak mahu memanjangkan lagi episod drama yang terjadi.

Pada masa sama, serius dan optimis dia menyatakan, tidak mahu lagi terlibat dengan sebarang pergaduhan sesama artis Malaysia dan selebihnya menyerahkan isu kontroversi tersebut kepada pihak pengurusannya di Indonesia iaitu Nagaswara untuk menangganinya.

Disoal sama ada dia malu dengan apa yang terjadi, Shima anggap semuanya sebagai asam garamnya sebagai selebriti.

“Kalau kata nak malu saya sudah lalui macam-macam benda. Dimarah mommy (panggilan kepada Mas Idayu), pengsan waktu buat persembahan di Big Stage dan kali ini bergaduh dengan Syukri. Bagaimanapun, nak tak nak saya kena hadapi semua ini dan teruskan kerjaya,” ujarnya optimis.

Ada yang mendekati

Tutup kisah kontroversi, ada perkara penting yang ingin dikongsikan pencinta haiwan ini.

“Pada 4 oktober ini saya akan keluarkan single terbaharu di YouTube @nagaswaraofficial yang berjudul Sakit. Selain itu, ada dua lagu lagi yang sudah siap dan menanti untuk dipasarkan di Indonesia.

“Sementara di Malaysia, saya ada lakukan satu projek khas dengan syarikat MVM Production Sdn. Bhd. untuk pasarkan lagu Pura-Pura Bujang di sana,” ujarnya yang kini menetap di Indonesia dan bernaung di bawah label gergasi, Nagaswara.

Artikel Berkaitan   “Memang Allah Nak Tunjuk.. Berbeza Dengan Saya Bila Minta Dari Suami Nak Beli Barang-Barang, Habis Saya Dimaki Sebab Membazir”

Meskipun cuma aplikasi WhatsApp menjadi medan untuk menemu bual penyanyi yang kini berada di Indonesia itu, namun Shima tetap mesra melayan satu demi satu soalan yang diajukan kepadanya selain menghantar gambar-gambarnya menerusi e-mel untuk dimuatkan dalam portfolio Sensasi Bintang minggu ini.

Beralih ke topik hati, penyanyi yang pernah menerima wang tip daripada penonton sebanyak 10 juta rupiah (RM2,900) dalam sebuah persembahan yang dijayakan itu mengakui ada jejaka Indonesia yang cuba mendekatinya.

“Memang ada yang cuba mendekati, tetapi saya boleh tahu yang mana ada niat lain dan akan cepat-cepat menghindarkan diri. Jujur kata, buat masa ini saya tak terfikir lagi untuk ada kekasih kerana masih banyak cita-cita yang belum tercapai,” ujar Shima seraya menoktahkan perbualannya.