“Saya Korek Tanah Tiba-Tiba Penyodok Terkena Sebuah Bekas, Paling Mengejutkan Bekas Tu Ada Bunyi Tangisan Bayi”

LUCKNOW, India: Seorang lelaki yang kematian anaknya terkejut apabila terjumpa bayi perempuan yang ditanam hidup-hidup ketika mahu mengebumikan anaknya yang baru meninggal dunia.

Dalam kejadian pada Isnin di Lucknow, India, Hitesh Sirohi dikatakan pergi ke satu lokasi untuk mengebumikan bayi perempuannya yang baru beberapa minit meninggal dunia.

Ketika mengorek lubang, penyodoknya terkena sebuah bekas diperbuat daripada tanah, lapor AFP.

Menurut polis, Hitesh pada mulanya menyangka bunyi tangisan itu daripada anaknya yang baru meninggal dunia.

Namun apabila diperiksa, dia terkejut apabila menemukan seorang bayi perempuan yang masih hidup dalam bekas tanah itu.

“Pada satu ketika, saya sangka anak perempuan saya kembali bernyawa, tapi suara itu sebenarnya datang dari dalam bekas tanah,” kata Hitesh kepada The Times of India.

Bayi perempuan yang dibaluti kain itu kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan.

Pembunuhan anak perempuan bukan perkara baharu di India malah kian menular. Ia ekoran tanggapan bahawa anak perempuan menjadi beban kepada keluarga berbanding anak lelaki yang dianggap sebagai pewaris dan merupakan satu pelaburan.