“Saya Malu Dengan Keadaan Tandas Di Malaysia Yang Kotor Dan Busuk”

PUTRAJAYA – [DIKEMASKINI] Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui beliau malu dengan keadaan tandas di Malaysia yang kotor dan busuk.

Ahli Parlimen Langkawi itu menegaskan beliau selalu melakukan pemeriksaan di tandas awam dan mendapati ia selalu berada dalam keadaan kotor.

“Kita sering menyuarakan perasaan tidak senang kerana kalau ada tandas untuk orang ramai, keadaan itu tidak baik sama sekali.

“Kalau kita pergi ke negara tertentu, tandas untuk orang awam amat bersih. Tandasnya bersih kerana pengguna tidak kotorkan keadaan. Kenapa? Dia rasa bertanggungjawab dan menghargai pandangan masyarakat terhadap diri.

“Dengan itu dia akan jaga kerana dirinya memang bersih dan tidak lakukan sesuatu yang mengotorkan tandas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan di Dewan De’ Seri Endon di sini pagi tadi.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dan Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Tambah Dr Mahathir, keadaan sebegitu berlaku kerana tiada perasaan tanggungjawab sivik dalam hati mereka yang mengotorkan tandas berkenaan.

“Itu mencerminkan sifat yang ada pada kita. Sepatutnya kita berasa malu namun, kita berpendapat tiada orang yang akan tahu siapa yang membuatnya,” ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata usaha mendidik dalam bidang sivik menjadi perkara penting kerana ia mempunyai hubung kait dengan kehidupan masyarakat dalam menyumbang kepada kebaikan dan kesejahteraan.

“Usaha mendidik bukan sahaja tanggungjawab ibu bapa semata-mata bukan kerana semua ibu bapa mempunyai pegangan yang baik kepada nilai-nilai yang mulia. Oleh itu, mungkin apa yang diajar, disampai dan disemai dalam hati anak-anak mereka tidak begitu baik.

“Justeru, kita perlu susun nilai hidup terbaik yang perlu diterap kepada anak-anak. Ini menjadikan satu daripada tugas pendidikan dalam membentuk masyarakat yang bertanggungjawab, kita perlu tentukan pegangan dan sifat yang perlu ada,” katanya.