“Saya Mengalami Alahan Yang Teruk. Jadi, Memang Terpaksa Tolak” Walaupun Sering Berjauhan, Eyra Hazali disahkan Hamil

PELAKON Eyra Hazali membuat kejutan istimewa terhadap suaminya yang juga penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT), Muhammad Haziq Nadzli mengenai dirinya kini berbadan dua.

Berita itu dikongsi Eyra menerusi satu rakaman video ‘unboxing’ yang didakwa hadiah pemberian seseorang sempena perkahwinannya yang berlangsung tiga bulan lalu.

Bagaimanapun sebaik Haziq membuka kotak terbabit ia mengandungi kit ujian kehamilan dan bertanya “Awak serius ke sayang”? .

Pasangan itu kemudian berpelukan dan tidak dapat menahan air mata kegembiraan. Berita itu kemudian dikongsi dengan ahli keluarga melalui panggilan video.

Rakaman terbabit turut dimuat naik Eyra menerusi saluran YouTube miliknya hari ini.

Sementara itu, melalui Instagram Story Eyra memohon maaf terpaksa menolak tawaran berlakon dan undangan ke majlis tertentu memandangkan keadaanya yang kurang sihat.

“Alhamdulillah syukur kepada Allah atas rezeki ini. Eyra minta maaf terpaksa tolak tawaran berlakon, undangan majlis dan mesyuarat kerana kesihatan saya.

“Saya mengalami alahan yang teruk. Jadi, memang terpaksa tolak untuk jaga kesihatan memandangkan ini kandungan pertama.

“Sebelum ini saya ada menidakkan diri mengandung, itu kerana terlalu awal untuk dedahkan dan nak pastikan kandungan kuat.

“Alhamdulillah, rezeki tak putus-putus tapi saya kena beritahu juga perkara sebenar supaya setiap produksi dan klien faham keadaan saya dan sebab saya menolak.

“Saya harap semua dapat faham dan doakan saya dan Haziq. Terima kasih,” katanya.

Eyra dan Haziq berkahwin pada 1 November 2019 selepas dua tahun berkenalan.