“Saya Menyesal Dengan Apa Yang Dilakukan” Gara-Gara Hiburkan Sepupu, Gadis Ini Tersangkut Harmonika Dalam Mulut

OTTAWA – Seorang pengguna TikTok di Kanada berdepan detik cemas apabila alat muzik harmonika tersangkut di dalam mulutnya ketika cuba merakam video untuk menghiburkan sepupunya.

Akibat kejadian itu, Mollie O’Brien yang merupakan seorang pelajar di sekolah tinggi Ontario terpaksa dikejarkan ke hospital untuk mengeluarkan instrumen tersebut.

Menurut laporan Daily Mail, remaja terbabit mula merakam video lucu di akaun TikToknya cemas selepas menyedari harmonika itu gagal dikeluarkan.

Ketika lagu berjudul I Just Did a Bad Thing dendangan BIll Wurtz sedang dimainkan, dia mula menulis lirik pada video tersebut tanpa menunjukkan keseluruhan wajahnya.

“Saya baru sahaja melakukan perkara yang mengarut. Saya menyesal dengan apa yang dilakukan. Anda mungkin tertanya-tanya apa yang telah saya lakukan.

“Saya telah masukkan keseluruhan harmonika di dalam mulut dan kini ia tersangkut,” tulisnya sambil mula mendedahkan wajahnya.

Meskipun pada awalnya dia mendapati situasi itu kelakar, namun selepas 30 minit dia mula berasa sakit dan kebas.

“Setiap kali saya menghembuskan nafas, ia mengeluarkan bunyi bising. Jujurnya, saya sendiri tidak tahu bagaimana ia boleh tersangkut,” tulisnya lagi.

Ibu O’Brien kemudiannya membawa dia ke hospital sebelum dirujuk ke doktor gigi.

Sehingga kini, video tersebut mendapat lebih 1.7 juta tanda suka. – Agensi

Artikel Berkaitan   Kisah Gadis Tolak Tawaran Designer, Pulang Ke Kampung Semata-Mata Nak Jadi Tukang Kebun Sayur