“Saya Merayu Tolonglah Pulangkan Susu Kami” Orang Ramai Mencuri Susu Di Trelar Yang Terlibat Kemalangan

SAYA merayu kepada mereka yang ambil, pulangkan segera susu itu, kalau tak dapat semua, dapat separuh pun tak apa, sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos ganti rugi yang perlu dibayar.”

Itu rayuan Azizan Zainuddin, 57, iaitu pemilik treler muatan susu tin yang terbabit kemalangan di Cabang Tiga, Kampung Tawang di sini, kelmarin.

Azizan berkata, sehingga kini dia masih berharap orang ramai terus menghantar semula susu yang mereka kutip selepas treler dinaiki bersama anaknya, Mohd Baihaqi, 25, dan pekerjanya dikenali sebagai Shafiq, 21, terbalik.

“Setakat hari ini (semalam), saya terima lima karton dan beberapa guni berisi susu tin yang dihantar penduduk ke lokasi kemalangan.

“Saya juga dimaklumkan polis ada terima kira-kira 40 hingga 50 karton susu tin yang diserahkan ke balai,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pengkalan Haji Ali di sini, semalam.

Azizan berkata, dia akan berjumpa pemilik susu berkenaan di Pengkalan Chepa hari ini untuk berbincang mengenai jumlah kerugian dialami selepas susu berkenaan diambil orang ramai tanpa kebenaran.

“Saya juga akan menghantar semua bekalan susu yang ada kepada pemiliknya. Saya kini tak sempat nak fikir apa sebab tengah bingung memikirkan kos kerugian yang perlu diganti kepada syarikat.

AZIZAN termenung memikirkan cara untuk membayar ganti rugi dan kos membaiki trelernya. FOTO Nor Amalina Alias

“Selain itu, kos membaiki treler rosak akibat kemalangan yang dijangka membabitkan kos RM50,000. Semuanya saya perlu tanggung,” katanya.

Pada masa sama, bapa kepada tiga anak itu berkata, dia berharap orang ramai tidak bercakap bukan-bukan mengenai kejadian itu dan mereka sekeluarga memohon maaf jika orang Kelantan dipandang rendah akibat insiden itu.

Artikel Berkaitan   Kanak-Kanak Hilang Ditinggalkan Sekejap, Ditemui Keseorangan Dalam Kelaparan Berada Di Tingkat 17

“Namun saya berharap kes ini menjadi pengajaran dan pedoman supaya tidak mengambil barang yang bukan kepunyaan kita,” katanya yang mengambil upah membawa muatan susu untuk dihantar ke gudang.

Anaknya, Mohd Baihaqi berkata, kejadian itu menyebabkan dia cedera di paha kanan akibat tersepit dan Shafiq menerima lima jahitan di kepala.

“Dalam rakaman video yang tular itu, Syafiq (berbaju hijau dalam video) ada letak kotak susu atas motosikal saudara kami dan bapa saudara memunggah kotak susu ke dalam kenderaan Toyota Hilux, namun disimpan sebelum diserahkan semula kepada kami.

“Namun apa yang menyedihkan ada pihak sanggup mengoyakkan khemah treler, malah ada yang berebut dengan bapa saudara hendak ambil susu, bagi saya ini tidak sepatutnya berlaku kerana kami baru ditimpa kemalangan.

“Ibu, Nik Nor Asiha Raja Puteh, 55, yang turut berada di lokasi sudah melarang orang ramai daripada mengambil, namun tidak diendahkan sehingga ada yang memuatkan susu dalam guni,” katanya yang turut membuat laporan polis berhubung kejadian itu.

ANTARA susu tin yang dipulangkan dalam plastik. FOTO Nor Amalina Alias

Polis buka kertas siasatan

Polis membuka kertas siasatan berikutan tindakan orang ramai mengambil susu tanpa kebenaran daripada treler yang terbalik di Cabang Tiga, Kampung Tawang di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri selepas menerima laporan daripada pemandu treler berkenaan, Mohd Baihaqi Azizan, 25, Rabu lalu.

“Pada mulanya, timbul kekeliruan apabila ada pihak mendakwa pemilik barang itu memberi kebenaran untuk mengambil susu terbabit.

“Bagaimanapun, pemilik treler (Azizan Zainudin) tidak pernah memberi kebenaran seperti itu. Pengadu sudah membuat laporan polis petang kelmarin (semalam) berhubung kemalangan dan kehilangan susu.

Artikel Berkaitan   Ini Hebatnya Iron Idaman Wanita Versi Jimat, Fungsinya Macam Harga Beribu Tu

“Susulan itu kita buka kertas siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dipercayai, segelintir orang ramai menghantar kembali susu itu di lokasi kemalangan dan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok.

Nik Aminuddin berkata, pihaknya sudah memaklumkan kepada pemilik treler untuk mengambil semula susu yang dipulangkan penduduk kampung di IPD Bachok.

Dalam kejadian Rabu lalu, tular satu rakaman video berdurasi 34 saat memaparkan penduduk mengutip susu dari treler yang terbalik selepas terbabit kemalangan di Bachok.

Akhbar melaporkan pemilik treler terbabit tidak pernah memberi kebenaran susu itu diambil dan pada masa sama merayu orang ramai memulangkan kembali kerana dia bakal berdepan kerugian RM120,000.