“Saya Nak Bantu Keluarga Yang Ada Anak Ramai Yang Teringin Nak Makan Sate” Viral Wanita Ini Jual Sate 30 Sen

Untung sikit tetapi berpanjangan. Itu reaksi seorang wanita orang kurang upaya (OKU), Nor Aini Mohamad, 31, dari Kota Kuala Muda, Kedah ketika ditanya sebab menjual sate dengan hanya 30 sen secucuk.

Berdepan masalah kaki sejak lahir, Nor Aini tidak menjadikan kekurangan itu sebagai penghalang sebaliknya dia terus berusaha membantu suami, Abd Rashid Abd Halim, 32, menjana ekonomi keluarga.

Bermula dengan minat mendalam dalam dunia perniagaan, Nor Aini pernah menjual kuih sepertimana dilakukan ibunya suatu ketika dahulu sehinggalah berkongsi resipi daripada kakak ipar yang turut menjalankan perniagaan sate.

Perasaan malu bertemu orang ramai tidak dihiraukan malah wanita bertubuh genit tidak mengendahkan kata-kata negatif sebaliknya berusaha untuk mempunyai perniagaan sendiri selain tunjuk ajar daripada keluarga.

Nor Aini berkata, dia berharap mereka yang kurang berkemampuan serta mempunyai ahli keluarga ramai dapat menikmati hidangan nombor satu rakyat Malaysia itu.

“Saya nak bantu keluarga yang ada anak ramai yang teringin nak makan sate, setakat ini, Alhamdulillah saya rasa puas,” katanya menjelaskan banyak pelanggannya terdiri daripada penduduk tempatan dan golongan nelayan.

Beliau berkata, sebelum ini, dia berniaga sate di hadapan rumah sewa di Kampung Keda Tepi Sungai, namun sejak dua minggu lalu berpindah di hadapan tugu peringatan tsunami Kota Kuala Muda yang menjadi perhatian ramai sehingga tular di laman sosial.

Nor Aini ketika berniaga.

Menurut Nor Aini, dia tidak menyangka jualan satenya mendapat perhatian termasuk daripada luar daerah sehingga mampu menghasilkan 1,000 hingga 1,200 cucuk sehari.

“Alhamdulillah, ramai pelanggan membeli walaupun mereka terpaksa menunggu lama,” katanya.

Nor Aini berkata, rutin hariannya setiap pagi ialah mencucuk sate di rumah bermula daripada Subuh hingga Zuhur sementara suaminya turun ke laut menangkap ikan.

Lokasi di hadapan tugu peringatan tsunami yang merupakan laluan pelancong membolehkan sate mereka jadi tumpuan.

Disebabkan tidak boleh memandu, Nor Aini terpaksa menunggu Abd Rashid pulang sebelum mereka keluar berniaga pada sebelah petang,” katanya.

Sementara itu, pelanggan, Ahmad Ziyani Abd Halim, 30, berkata, sate yang disediakan pasangan itu berbeza kerana bukan sahaja murah tetapi isi ayam lembut.

Menurutnya, dia terpaksa menunggu giliran setiap kali mahu membeli sehingga kadang-kala terpaksa tunggu lebih sejam kerana pelanggan yang ramai.

Sate dijual pasangan itu turut digemari kanak-kanak.

Abd Rashid Din, 58, dari Penanti, Pulau Pinang pula berkata, sate dijual pasangan terbabit berbaloi kerana mampu milik serta segar kerana dihasilkan setiap hari.

“Kalau masa la ni susah nak dapat harga macam ni tetapi mereka buat sendiri dari A sampai Z, sebab tu boleh jual kerana dapat untung bersih,” katanya.

Menurutnya, langkah Nor Aini dan suami menjual sate dengan harga 30 sen adalah satu niat murni yang perlu dipuji.

“Saya tengok ada budak-budak beli RM1 depa dapat empat cucuk, elok sangatlah, bukan saja orang dewasa boleh beli malah kanak-kanak pun beratur, lebih elok daripada mereka beli makanan ringan lain,” katanya.