“Saya Nampak Dia Tangkap Bawah Skirt Perempuan” Lelaki Disahkan Meninggal Dunia Selepas Buat Projek Lucah

Seorang lelaki tempatan meninggal dunia selepas terjatuh dalam cubaan melarikan diri daripada pihak polis di Jalan Telawi 4, Bangsar di sini semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Arifai Tarawe berkata, pihaknya telah menerima satu laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun kira-kira pukul 10.40 malam di Balai Polis Bangsar yang mendakwa terlihat lelaki berkenaan mengambil gambar melalui bawah skirt seorang wanita lain.

“Wanita berkenaan mendakwa, dia telah terlihat lelaki itu mengambil gambar tersebut di dalam sebuah restoran yang terletak di sebelah Balai Polis Bangsar sebelum beberapa orang anggota polis pergi ke restoran tersebut untuk melakukan pemeriksaan.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota polis, lelaki berusia 53 tahun itu telah bertindak melarikan diri dan dikejar oleh anggota bertugas sehingga ke sebatang lorong di belakang restoran tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Arifai, dalam usaha untuk melakukan tangkapan, suspek telah bertindak agresif dan meronta-ronda sehingga mengakibatkan dia terjatuh serta tidak sedarkan diri.

“Anggota bertugas seterusnya bertindak menghubungi ambulans dan pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kemudiannya mengesahkan suspek telah meninggal dunia.

“Mayat lelaki tersebut telah dihantar ke PPUM untuk dibedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga keputusan bedah siasat diperolehi,” ujar beliau. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Cerita Sebenar Bayi Yang Meninggal Di Rumah Pengasuh.. Masa Hantar Hospital, Baby Dah Tak Bernafas, Mulut Memang Biru Habis.