“Saya Nampak Perubahan Anak Saya, Bila Didesak, Terkejut Besar Saya Anak Diliwat Dengan Kasar”

KUALA TERENGGANU – Dua pelajar madrasah tahfiz di daerah ini ditahan awal pagi tadi dipercayai terlibat dengan kes liwat dan serangan seksual ke atas dua pelajar junior di madrasah berkenaan.

Difahamkan, kedua-dua pelajar berusia 15 dan 17 tahun itu ditahan kira-kira jam 1 pagi di madrasah mereka bagi membantu siasatan.

Perbuatan kedua-dua suspek terbongkar apabila mangsa yang berusia 10 dan 13 tahun itu menceritakan apa yang terjadi kepada ibu masing-masing, Khamis lalu.

Menurut sumber, ibu mangsa bertanyakan keadaan mereka setelah melihat perubahan sikap kedua-duanya, sebelum mangsa memberitahu diliwat dan menjadi mangsa serangan seksual oleh pelajar senior.

“Mangsa yang berusia 13 tahun mendakwa dia diliwat sebanyak dua kali oleh seorang senior berusia 17 tahun, manakala mangsa berusia 10 tahun pula mendakwa menjadi mangsa serangan seksual senior berusia 15 tahun beberapa kali,” katanya.

Susulan itu, keluarga kedua-dua mangsa bertindak membuat laporan di Balai Polis Chendering di sini bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Razmi Mohd Gunnos ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kes berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017 dan Seksyen 14 (b) akta sama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Artikel Berkaitan   Wanita Ini Terkejut Simpanan RM59,600 Hanya Berbaki RM100. Polis Ambil Serius Sahkan Perkara Ini