“Saya Panik Dan Menjerit ‘Api! Api! Berulang Kali Sebelum Jeritan Itu Disedari Penghuni Asrama Lain”

“SAYA sempat melakukan solat sunat, membaca Surah Taha dan tidur seketika sementara menanti masuk waktu Subuh. Bagaimanapun, saya dikejutkan dengan kejadian kebakaran mendadak asrama ini,” kata penuntut Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Maryam Hadeeja Muhamad Zaidun, 16.

Pelajar tingkatan empat yang menghuni bangunan B di asrama itu berkata, dia bangun seawal jam 4 pagi untuk solat dan mengaji sebelum dikejutkan seorang rakannya bernama Athirah secara mendadak.

“Ketika itu saya menyedari bangunan asrama bersebelahan (Bangunan A) sedang marak terbakar.

“Saya panik dan menjerit ‘api! api! berulang kali sebelum jeritan itu disedari penghuni asrama lain. Selepas itu, semua pelajar di asrama itu bergegas turun ke tingkat bawah untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Menurutnya, walaupun pada awalnya jumlah pelajar didapati tidak mencukupi, namun dia bersyukur apabila pengiraan semula dilakukan mendapati semua 135 pelajar asrama ini terselamat.

“Jarak antara Bangunan A dan Bangunan B hanya sejauh enam meter dan dihubungkan koridor serta tangga,” katanya.

Sementara itu, Nur Athirah Mohamad Zabuddin, 16, berkata, dia sedang bersiap untuk menunaikan solat Subuh di tingkat dua asrama sebelum melihat cahaya di Bangunan A.

“Mulanya saya menyangka ia lampu jalan sebelum mendapati cahaya itu semakin besar. Ketika itu baru saya menyedari api sedang marak membakar asrama ini.

“Kami semua terkejut dan tak menyangka kebakaran ini berlaku berikutan semua pelajar baharu sahaja pulang ke asrama petang semalam (kelmarin ) untuk memulakan persekolahan,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ainin Sofiya Romzi, 16, berkata, latihan pengungsian bangunan yang pernah diikuti di maahad itu sebelum ini sangat membantu mereka menyelamatkan diri ketika berlaku kebakaran.

Artikel Berkaitan   “Tiga Kali Aku Jumpa Tandas Tak Dipam. Ba*I Kau Fikir Aku Nak Tengok Tahi Kau Timbul Je Ke?” Gadis Ni Hilang Sabar Housemate Pengotor

Sementara itu, Pengetua MITS Kuala Langat, Abd Halim Saljadi berkata, kecekapan ditunjukkan pelajar perempuan tingkatan satu hingga lima itu membuktikan latihan pengungsian bangunan yang dipelajari mereka sangat berguna.

Menurutnya, semua pelajar terbabit berjaya menyelamatkan diri dan berkumpul di tempat ditetapkan di hadapan kuarters guru di maahad terbabit.

kredit harian metro