“Saya Rasa Ini Adalah Pengalaman Yang Paling Teruk,” Natasha Hudson Sah Cerai Talak Satu

Pelakon Natasha Hudson mengesahkan dia dan Noor Nashriq Sekanor kini sudah bercerai talak satu baru-baru ini.


Natasha bagaimanapun tidak mahu mendedahkan tarikh tepat penceraian dia dan bekas suaminya itu yang merupakan ahli perniagaan.

Menerusi laporan Mstar, Natasha, 36, menganggap ia adalah ketentuan Illahi.

“Ya, saya sudah bercerai baru-baru ini dengan talak satu dan sepanjang melalui perkahwinan ini, ia dipenuhi dengan penipuan dan permainan mental.

“Jadi, saya tinggalkan dia. Ia memerlukan keberanian untuk melakukannya. Saya perlu menyelamatkan diri dari kesengsaraan dan pengorbanan.

“Mungkin sya jenis yang tak nak ceritakan kisah silam dan perkahwinan saya kepada umum, tetapi saya rasa ini adalah pengalaman yang paling teruk,” katanya seperti dipetik. 

Sementara itu, menerusi Insta Storiesnya baru-baru ini, Natasha ada memberi bayangan terhadap status perkahwinanya itu.

Malah, pelakon berdarah kacukan Melayu-Australia ini juga memadam foto perkahwinan bersama suaminya itu.

Terdahulu, Natasha dan Nashriq berkahwin pada Disember tahun lalu dan ia merupakan perkahwinan keempatnya.

Terdahulu, pada Oktober tahun lalu juga, Natasha mengejutkan ramai apabila dia mengaku sudah bercerai dengan bekas suaminya, Carleed Khaza yang dinikahi pada 2012. Hasil perkahwinan ketiganya itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Naeema Kalila dan Faatimah.

Sebelum itu, Natasha pernah berkahwin dengan Mohd. Faiz Mohd. Raih pada 2006 dan Datuk Shahrin Zahari pada 2007.

Foto: Instagram Natasha Hudson / Mstar