“Saya Rindu Sekolah” Gadis Ini Menangggung Penyakit Ini, Beliau Hanya Mampu Berjalan Merangkak

REMAJA perempuan berusia 16 tahun hanya sempat bersekolah di Tahun Satu saja akibat masalah tulang belakang atau lebih dikenali sebagai Spina Bifida sejak lahir.


Penyakit dihidapi Zati Aina Izad Fathan mengakibatkan bahagian pinggangnya ke bawah lumpuh dan untuk bergerak dia terpaksa merangkak.

Anak kedua daripada tiga beradik itu mengakui sedih dengan kecacatan fizikal yang dialaminya dan dia tidak mampu bersekolah serta menjalani hidup seperti orang lain.

“Saya hanya sempat bersekolah selama setahun saja di Tahun Satu sebelum umi (ibu) memutuskan saya berhenti kerana sukar bergerak.

“Bagi melepaskan rasa rindu terhadap sekolah, saya meminta kakak dan adik bercerita mengenai sekolah masing-masing,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pasir Pekan, Tumpat baru-baru ini.

Sementara itu, ibunya Normi Ibrahim, 45, berkata, untuk menyara keluarga, dia mengambil upah menjahit pakaian dengan pendapatan tidak menentu.

“Saya teringin untuk mencari kerja lain yang menawarkan gaji agak lumayan tapi hasrat itu terpaksa dilupakan mengenangkan anak bergantung sepenuhnya kepada saya.

“Mujurlah Zati Aina dapat bantuan RM400 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang digunakan untuk membeli lampin pakai buangnya. Biarpun ia masih tidak mencukupi, saya tetap bersyukur,” katanya.

Menurutnya, Zati Aina menunjukkan minat untuk membantunya menjahit pakaian namun pergerakannya terbatas.

“Saya pernah mencari tempat untuk belajar menjahit namun ia tidak sesuai untuk anak kerana kedudukan premis yang terletak di tingkat atas,” katanya.

Orang ramai boleh menghulurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) Normi bernombor 0311629000109387.