“Saya Sanggup Menghantar Mesej Peribadi (DM) Kepada Ibunya” Suami Mira Filzah Cerita Detik Hatinya Mula Cair

KEBAHAGIAAN jelas terpancar di wajah aktres jelita Mira Filzah saat mengikat janji suci pernikahan dengan Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar, 30, anak kepada Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Lebih mengujakan, majlis pernikahan bertemakan Mihrab Cinta yang berkongsep kubah berbentuk Islamik itu diibaratkan seperti mendirikan sebuah masjid dalam mengharungi kehidupan hingga akhir hayat.

Siapa sangka, pertemuan pertamanya dengan jejaka berkelulusan dari United Kingdom bergelar arkitek itu pada Oktober tahun lalu membawa ke gerbang perkahwinan selepas percubaan demi percubaan yang dilakukan Emir sehingga menghantar mesej peribadi kepada ibu Mira di Instagram.

Wan Emir ketika ditemui berkata, dia mengakui Mira adalah wanita yang diimpikan selama ini dan berharap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai suami kepada pelakon terkenal itu dengan sebaik mungkin.

“Entah bagaimana, saya sendiri dapat merasakan seolah-olah Allah sudah meletakkan perasaan antara saya dan dia (Mira). Jadi apa yang perlu saya lakukan adalah cuba sedaya upaya menambat hatinya dengan apa cara sekalipun.

“Saya tidak kisah sekiranya percubaan saya ditolak, sekurang-kurangnya saya sudah berusaha dan tidak menyesal sepanjang hidup saya.

“Disebabkan itu juga, saya sanggup menghantar mesej peribadi (DM) kepada ibunya. Tambahan pula, kalau nak melamar seseorang saya kena melalui ibu bapanya terlebih dahulu,” katanya.

Tambah Emir, meskipun dia mengikuti perkembangan Mira sejak 2016, namun dia buntu memikirkan cara untuk berkenalan dengan wanita berusia 27 tahun itu.

“Sejak 2016 lagi, saya memang menyimpan perasaan terhadapnya tapi tak tahu cara untuk mulakan. Ketika itu saya hanya cuba mesej dia di Instagram ,namun tidak pernah berbalas.

Artikel Berkaitan   “Jangan Beli Cili Yang Datang Daripada Vietnam” Ini Puncanya Kerajaan Meminta Semua Pihak Berhati-Hati

“Ketika arwah bapa saya meninggal dunia, pintu hati saya tertutup rapat sebab pemergiannya satu kehilangan besar. Tapi, setiap kali melihat Mira saya masih menyimpan perasaan itu.

“Mungkin Allah mendengar segala doa dan impian saya untuk memperisterikannya,” katanya.

Mira pula berkata, dia menerima kehadiran Emir kerana kesungguhan suaminya itu untuk cuba mendekati dan mengenalinya dengan lebih rapat.

“Saya boleh kata kesungguhan dia sangat tinggi dan melihat apa yang diusahakan, buat hati saya terpaut,” katanya.

Doa ibu adalah terbaik

Ditanya maklum balas ibu Emir sebaik dia memaklumkan keinginannya untuk memperisterikan Mira, Emir berkata ibunya sentiasa berdoa supaya anak-anaknya menemui kebahagiaan.

“Sejujurnya, ibu tidak mahu saya hampa kerana seseorang yang ingin saya dekati adalah individu yang terkenal dan berpengaruh.

“Tapi, ibu selalu mendoakan apa yang terbaik untuk anak-anaknya. Lebih membuatkan saya gembira, ketika ibu bertemu kali pertama bertemu dengan Mira hatinya juga cair,” katanya.

Kata Emir, dia bersedia berdepan dengan segala cabaran dan liku-liku kehidupan dalam rumah tangga dibina bersama bintang seni popular itu.

“Saya tak tahu apa cabaran yang bakal saya hadapi. Tapi, saya tahu Mira pandai menjaga dirinya. Kami juga berkomunikasi dengan sangat baik.

“Saya sedar yang dia ada tanggungjawab yang perlu dibuat sebagai selebriti dan saya akan sentiasa berada di sampingnya,” katanya.

Mengulas jolokan khalayak yang mengatakan majlis pernikahan pasangan ini sebagai Wedding of The Year, Mira bagaimanapun tidak pernah terlintas memikirkan hal itu.

“Ia terletak pada penilaian masyarakat kerana saya sendiri tidak layak untuk menetapkannya. Cuma, setiap majlis yang saya lakukan adalah untuk meraikan saudara-mara serta kenalan dekat.

Artikel Berkaitan   “SAYA Bagaikan Bermimpi Apabila Memperisterikan Wanita Itali,” Bermula Ucapan Tahniah, Lelaki Ini Sah Jadi Suami Minah Saleh

“Malah setiap majlis yang diadakan pun hanya dihadiri 250 tetamu saja kerana mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Sehubungan itu, Mira dan suami dinikahkan sendiri oleh bapa Mira, Badioezaman Ab Khalik.

Pada majlis berkenaan, pihak lelaki menyerahkan mas kahwin berupa seutas gelang manakala jumlah wang hantaran dirahsiakan.

Selain majlis pernikahan kelmarin, Mira turut mengadakan majlis resepsi semalam di Le Meridien, Putrajaya, dan A-Park, Puchong, esok.

kredit harian metro