“Saya Tak Malu Mengaku Sudah Menjual Banyak Barang Kerana Mengalami Masalah Kewangan”

“SAYA tak malu mengaku sudah menjual banyak barang kerana mengalami masalah kewangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu,” kata penyanyi, pelakon dan pengacara, Adibah Noor.

Adibah, 50, menerusi perkongsian video berdurasi lebih dua minit di Instagram (IG), membuat penjelasan itu berikutan kerap menerima mesej daripada orang ramai yang meminta bantuan kewangan.

Menurut Adibah, dia sendiri akur harus berjuang demi kelangsungan hidup ketika PKP itu, termasuk terus membayar gaji pekerjanya serta memastikan makanan untuk 37 ekor kucing peliharaan tidak putus bekalan.

“Ingin dijelaskan, pekerja seni macam saya yang dilihat sentiasa berada di depan kamera dan atas pentas ini, memang nampak macam mewah. Apatah lagi, sering memuat naik video atau foto di media sosial.

“Namun, tujuan perkongsian video dan foto itu adalah untuk menunjukkan kami masih aktif bekerja dalam bidang seni. Tapi, sejujurnya ketika PKP lalu saya memang tidak ada ‘job'(tawaran kerja) langsung.

“Sekali gus, saya tiada pendapatan dan memang terjejas. Tetapi, saya nekad harus berusaha mendapatkan kewangan sendiri berikutan ramai orang yang terjejas kehidupan mereka,” katanya.

Ujar penyanyi lagu Terlalu Istimewa ini, justeru dia sudah menjual rumah serta menggadai semua barang kemas miliknya  kerana kesempitan kewangan dialami akibat penularan Covid-19.

Bagaimanapun, berikutan kerajaan kini melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), Adibah berkata dia boleh menarik nafas lega dan bersyukur dapat tawaran kerja semula.

Katanya, walaupun bayaran diterima sekarang agak rendah sebelum negara dilanda pandemik, dia tidak memilih dan ambil sahaja tawaran berkenaan asalkan ada sumber kewangan.

Adibah atau nama sebenar Adibah Noor Mohamed Omar berkata dalam situasinya sekarang, dia meminta maaf kepada pihak berkenaan kerana tidak dapat membantu dengan menghulurkan kewangan.

Artikel Berkaitan   Nak Bersihkan Kerongkong, Lelaki Tertelan Berus Gigi, Doktor Cek Rupanya Berus Gigi Dah Masuk Dalam Badan

Apapun, ujarnya lagi segala kisah kesusahan hidup dikongsikan itu

tidak bertujuan cuba memohon belas kasihan dan bantuan. Sebaliknya, dia kini bersyukur sudah kembali bekerja.

Sehubungan itu, Adibah turut mengingatkan supaya semua rakyat di negara ini kekal menjaga prosedur operasi standard (SOP) ditetap kerajaan supaya tiada lagi PKP yang menjejaskan pendapatan orang ramai.

kredit harian metro