“Saya Tak Mampu Sediakan Wang Banyak Itu” Bayi Ini Menderita Tidak Mempunyai Telinga, Masalah Tulang Belakang Dan Terkena Jangkitan Kuman.

BAYI ini dilahirkan bukan hanya tidak mempunyai telinga, bahkan bermasalah tulang belakang dan terkena jangkitan kuman.


Dugaan itu yang menyebabkan keluarganya buntu mencari dana untuk menampung rawatan supaya Muhammad Ikhsan Abdul Hadi berusia sembilan bulan dapat membesar seperti insan lain.

Ibunya, Siti Hafsah Che Mah, 40, berkata, sekurang-kurangnya RM30,000 diperlukan untuk rawatan anak bongsunya itu.

Katanya dia sangat sedih mengenangkan nasib Muhammad Ikhsan yang tidak boleh mendengar, malah tidak boleh bergerak kerana tulang belakang bengkok.

“Sejak dilahirkan, hospital sudah menjadi rumah kedua kami kerana Ikhsan kerap terkena jangkitan kuman.

“Malah anak pernah ditempatkan di wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu selama sebulan.

“Berat badannya hanya dua kilogram sahaja, kerana bergantung kepada susu khas yang diberikan melalui tiub,” katanya, hari ini.

Menurutnya, RM30,000 diperlukan untuk menampung pembedahan telinga dan tulang belakang anaknya yang dijadualkan dalam masa terdekat.

“Saya memang tidak mampu menyediakan wang sebanyak itu kerana sudah dua bulan tidak berniaga barang kosmetik, manakala suami bekerja sendiri dengan pendapatan tidak seberapa.

“Pada masa sama, kami perlu menyara dua lagi anak berusia 15 dan 17 tahun yang masih bersekolah,” katanya yang mengharapkan ada pihak yang membantunya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian di akaun CIMB bernombor 7066347938 atas nama Siti Hafsah Che Mah.