SINGAPURA – Pasangan di Singapura yang didakwa membunuh anak lelaki mereka berusia lima tahun enggan menampilkan saksi untuk memberikan keterangan.
Ridzuan Mega Abdul Rahman dan isterinya, Azlin Arujunah masing-masing berusia 27 tahun turut berdepan tuduhan penderaan lain termasuk mengurung anak mereka di dalam sangkar kucing dan mencubit mangsa dengan playar.
Ketika perbicaraan yang bermula pada 12 November lalu, pasangan terbabit didakwa turut menyiram air panas sebanyak empat kali ke atas mangsa kira-kira seminggu sebelum kanak-kanak terbabit meninggal dunia akibat kecederaan parah pada 23 Oktober 2016.
Hakim Mahkamah Tinggi, Valerie Thean hari ini meminta Ridzuan dan Azlin mengemukakan bukti untuk mempertahankan diri atau mahkamah membuat keputusan untuk menentukan mereka bersalah atau tidak.
“Saya tidak mahu memberi keterangan, Yang Arif,” kata Azlin malah suaminya menerusi bantuan penterjemah juga memilih untuk berdiam diri.
Keputusan dibuat mereka menjadikan saksi tunggal yang boleh memberi keterangan kini adalah pakar psikiatri pasangan tersebut.
Dr Jacob Rajesh yang merupakan pakar psikiatri Azlin menerusi laporannya menyatakan wanita itu mengalami gangguan penyesuaian dengan mood yang tertekan manakala keputusan diagnos Dr Ken Ung terhadap Ridzuan mendapati dia mengalami gangguan hiperaktif kekurangan perhatian, gangguan letupan sekejap dan gangguan penggunaan hipnosis. – Agensi