“Saya Tolak Semuanya” Banyak Kali Menerima Tawaran Pertandingan, Ebby Yus Dedah Sebab Utama Semua Tawaran Itu Ditolak

PELAKON dan pelawak, Ebby Yus, 55, mendedahkan dia enggan menyertai pertandingan lawak seperti Maharaja Lawak Mega (MLM) kerana tidak mahu tertekan.

Ebby berkata, setakat ini dia sudah lapan kali menolak pelawaan menyertai program MLM meskipun pernah diajak rakan pelawak yang rapat dengannya.

“Dalam keadaan kesihatan saya yang kurang sihat sekarang, memang dielakkan daripada berasa stres (tertekan).

“Justeru, saya berasakan jika menyertai pertandingan, sudah pasti akan tertekan kerana perlu memikirkan tanggungjawab tugasan setiap minggu.

“Apatah lagi, bukan mudah untuk mendapatkan idea bagi kandungan persembahan yang bagus dan menghiburkan penonton. Jadi, saya tak mahu tertekan,” katanya.

Ebby atau nama sebenar Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata, selama berdekad pembabitannya dalam kerjaya seni, dia tidak pernah menyertai pertandingan lawak sebagai peserta.

“Apapun, saya pernah menyertai pertandingan Bintang Mencari Bintang (BMB) di TV3 sebagai tenaga pengajar. Itu pun sudah memadai kerana ketika itu saya masih sihat,” katanya.

Ebby seperti dilaporkan media sebelum ini sakit kerana berhadapan masalah jantung dan penyakit buah pinggang.

Menurut Ebby, bagi memantau keadaan kesihatannya kini dia memastikan mengikuti pemeriksaan dengan doktor di hospital pada tarikh ditetapkan.

Katanya, setakat ini dia sangat bersyukur kerana masih mampu aktif dengan kerjaya seni semula menerusi pembabitan dalam program televisyen.

“Semangat untuk terus bekerja tidak pernah luntur tetapi saya harus memilih tawaran sesuai dan mampu dilakukan.

“Buat masa ini, saya hanya menerima tawaran persembahan yang rakamannya dilakukan dalam studio dan tidak memerlukan berdiri terlalu lama.

“Manakala, tawaran berlakon drama saya masih menolak kerana tidak boleh terikat dengan komitmen berlakon di luar yang terdedah cuaca panas,” katanya.

Artikel Berkaitan   Keadaan Terkini Di M4kkah, Hujan Tidak Berhenti, Air Naik Setinggi 500 Meter, Tular Pula Video Hujan Batu

Ebby berkata, dia akan cepat pening serta terus kurang sihat jika terdedah dengan cuaca terlalu panas dan tidak menentu.

Begitupun, dia masih aktif meneruskan kerjaya seni dengan muncul dalam sitkom Jawatankuasa Kampung Kalut musim kelima (JKK5) di TV3, program Lawak Tak Lagha Bersama Ustaz Syamsul Debat dan terbaru, Stand Up Komedi Otai.