“Sayang Juga Dengan Cermin Mata Ni Sebab Tu Pemberian Arwah…” Tersentuh Kisah Rakan Tetap Pakai Cermin Mata Walau Dah Kabur

Baru-baru ini, tular satu tweet seorang remaja lelaki yang sanggup melancarkan satu kempen mengutip derma, semata-mata mahu membantu membelikan cermin mata baru untuk sahabatnya.


Tidak menyangka, tweet tersebut menjadi tular, remaja lelaki tersebut yang dikenali sebagai Mohamad Haikal, 17, sumbangan yang diterima buat sahabatnya, Faizal, sudah lebih nilainya dengan harga cermin mata yang mahu dibeli.

Menurut Haikal, sahabatnya itu bukanlah daripada kelas yang sama tetapi mereka berkawan rapat sejak kecil. Tambahnya, Mohammad Nur Faizal Abdullah, selalu mengikuti kelas tambahan untuk SPM bersamanya.

Daripada situlah, Haikal perasan mengenai keadaan cermin mata Faizal yang sudah tidak boleh digunakan lagi, apabila dia melihat rakannya sering duduk di hadapan sekali dan berulang kali mengelap cermin matanya.

Menerusi laporan daripada mStar Online, ternyata ada kisah di sebalik cermin mata yang dipakai Faizal itu. Menurut calon SPM itu, cermin mata itu adalah pemberian daripada arwah ibunya.

Oleh disebabkan itu, Faizal sayang untuk menukar cermin mata tersebut meskipun rabunnya sudah bertambah, dan menyukarkan dirinya untuk belajar di dalam kelas.

“Sayang juga dengan cermin mata ni sebab tu pemberian arwah mak…”

Bagi Faizal yang merupakan anak sulung daripada enam beradik, telah berazam untuk belajar bersungguh-sungguh seperti yang pernah dipesan oleh arwah ibunya.

“Mak ada berpesan kalau satu hari nanti dia dah tiada, teruskan usaha dan belajar rajin…”

Meskipun mempunyai masalah ingatan dan dikategorikan pelajar dari kelas ‘belakang’, menurut Haikal, Faizal tidak putus asa untuk berusaha mencari inisiatif dengan menghadiri kelas tambahan untuk membantunya membuat persedian SPM.

“Walaupun ada masalah nak ingat, dia usaha nak belajar dengan join kelas tuisyen orang lain untuk belajar ekstra dari orang lain…”

Semoga adik Faizal dan Haikal berjaya dalam SPM, diharapkan persahabatan mereka ini mampu menjadi inspirasi kepada orang ramai, agar saling mengambil berat antara satu sama lain.

Sumber : mStar Online & Mohamad Haikal