“Sebelum Ni Bersetuju Tapi Hari Ni Lain Pulak” Sharnaaz Enggan Ceraikan Isteri Tetapi Harapkan Satu Perkara

Kemelut rumah tangga pelakon popular Sharnaaz Ahmad dan isterinya, Noor Nabila Mohd. Noor belum masih menemui jalan noktah apabila Mahkamah Rendah Syariah di sini sebentar tadi memerintahkan kedua-dua pihak perlu menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).

Hakim Syarie Ahmad Mutaqqi Ismail memutuskan demikian selepas Sharnaaz, 34, selaku defendan tidak bersetuju dengan penceraian yang difailkan Noor Nabila, 34, selaku plaintif pada 27 Ogos lalu mengikut Seksyen Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Terdahulu semasa prosiding, peguam syarie Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya tidak bersetuju dengan penceraian termasuk tuntutan yang dikemukakan Noor Nabila.

Bagaimanapun, peguam syarie Azmi Mohd. Rais yang mewakli Noor Nabila memaklumkan bahawa anak guamnya sudah tidak tinggal bersama dengan plaintif sejak Februari tahun lalu selain turut mempertikaikan kenyataan dibuat Sharnaaz dalam media sosial.

“Sebelum ini di media sosial defendan (Sharnaaz) sudah bersetuju untuk bercerai namun hari ini (di mahkamah) lain pula,” kata Azmi.

Ahmad Mutaqqi yang mendengar perkara itu kemudian memberitahu, mahkamah hanya mendengar segala keputusan dan hanya mengambil kira apa yang berlaku pada prosiding kes.

Berikutan itu, mahkamah menetapkan 30 September ini untuk sebutan semula kes dan lantikan JKP.

Dalam pada itu, Sharnaaz ketika ditemui selepas tamat prosiding memberitahu, dia ingin mencari jalan penyelesaian yang baik membabitkan rumah tangganya dengan isteri menerusi JKP.

Katanya, dia berharap apa sahaja keputusan dan jalan penyelesaian yang diperolehi kelak akan dipermudahkan.

“Niat saya hendak mencari perdamaian dan jalan penyelesai terbaik untuk kedua-dua belah pihak. Reda atau tidak, kita ada mahkamah dan kita perlu hadap benda itu. Kalau mahkamah sudah perintah untuk JKP, maknanya kita perlu ikut prosedur yang telah ditetapkan. Kenapa kahwin elok, nak cerai gaduh-gaduh,” katanya.

Sementara itu, Noor Nabila pula memberitahu, dia tidak boleh mengulas lebih lanjut berkenaan tuntutan cerai yang dibuatnya ditolak suaminya.

Bagaimanapun, kakak kepada selebriti terkenal Noor Neelofa itu memberitahu, dia hanya ingin fokus membesarkan dan memberikan kasih sayang kepada anaknya, Jebat Jayden.

Pada 31 Ogos lalu, Kosmo! Online melaporkan teka-teki status perceraian pelakon Sharnaaz terjawab apabila, Noor Nabila mengesahkan sudah memfailkan perceraian terhadap suaminya.

Spekulasi rumah tangga pelakon filem Juvana itu kembali hangat diperkatakan ramai selepas Noor Nabila memuat naik gambar hadapan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur menerusi Insta Storynya beberapa jam lalu. – K! ONLINE