“Sedang Bersiap Untuk Lahirkan Bayi, Wanita Ini Tidak Percaya Beliau Dan Bayi Terselamat Terkena Angin Letupan Di Lebanon”

BEIRUT: Sepasang suami isteri sukar untuk percaya mereka bersama bayi yang baru dilahirkan terselamat meskipun keadaan hospital hampir ranap akibat letupan di Beirut, Lubnan pada Selasa.

Emmanuelle Khnaisser pada awalnya sedang disiapkan untuk melahirkan anaknya di hospital berkenaan sebelum berlakunya letupan yang amat dahsyat di Pelabuhan Beirut.

“Saya sempat merakam insiden di dalam hospital termasuk rakaman kelahiran bayi lelaki kami. George dilahirkan dalam suasana yang amat teruk dan saya seakan tak percaya kami semua terselamat,” kata suami Emmanuelle, Edmond.

Video yang dirakam Edmond menyaksikan tingkap hospital berkenaan berkecai dan berderai sebaik isterinya ditolak masuk ke dalam bilik pembedahan.

 

Menurut Reuters, barisan doktor dan jururawat yang mengendalikan proses kelahiran George bertugas dalam keadaan separa gelap selepas letupan berkenaan.

Terdahulu, ibu kota Beirut rosak teruk susulan letupan besar yang mengakibatkan ratusan penduduk terkorban, manakala ribuan lagi mengalami kecederaan.

Letupan berlaku di sebuah gudang di kawasan Pelabuhan Beirut yang digunakan untuk menyimpan hampir 3,000 tan bahan kimia ammonium nitrat.

kredit astro awani

Artikel Berkaitan   Gara-Gara Sering Mengulangkaji Pelajaran Untuk Peperiksaan, Otak Budak 13 Tahun Ini Hampir Rosak