Sedang Leka Menggunting Rambut Pelanggan, Warga India Ini Didatangi Lelaki Tidak Dikenali Lalu Menoreh Hingga Berdarah

GEORGETOWN – Seorang tukang gunting cedera di lengan kanan akibat ditoreh lelaki yang tidak dikenali ketika sedang menggunting rambut pelanggannya di kedai gunting rambut di Jalan Tanjung Tokong di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, mangsa berusia 29 tahun itu luka teruk, namun dilaporkan stabil.

Menurutnya, dalam kejadian pada jam 10 malam itu, mangsa yang juga warga India sedang memotong rambut seorang pelanggannya sebelum didatangi suspek.

“Mangsa yang cedera tidak mampu berbuat apa-apa namun pelanggannya telah bertindak mengejar suspek, tetapi dia berjaya melarikan diri bersama rakannya yang sedang menunggu di luar kedai dengan menaiki motosikal jenis Yamaha LC135.

“Pelanggan cuba mengejar, namun gagal selepas motosikal itu terus memecut meninggalkan kawasan tersebut. Mangsa yang mengalami kecederaan kini dirawat di Zon Kuning Hospital Pulau Pinang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa telah bekerja selama tujuh tahun di kedai gunting rambut yang mempunyai 14 cawangan itu.

“Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian tidak menjumpai sebarang senjata yang ditinggalkan oleh suspek. Ketika kejadian, hanya mangsa dan seorang pelanggan sahaja berada di kedai itu. Pelanggan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Kita sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai gunting rambut tersebut untuk mengesan suspek. Motif kejadian belum diketahui. Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan   Selepas Tarik Diri Dari Youtube, Sugu Pavithra Buat “Comeback” Video Terbaru