“LAIN dibeli, lain pula yang dapat. Saya terkejut kerana kali pertama menjadi mangsa penipuan urus niaga dalam talian (scammer),” kata Arif Adli Hasbullah.
Arif, 19, yang juga penuntut Diploma Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pasir Gudang mencuri perhatian warganet selepas berkongsi gambar seluar dalam diterimanya selepas membuat pembelian beg duit menerusi sebuah portal jual beli dalam talian di Twitter miliknya, Selasa lalu.
Ciapan itu mengundang pelbagai reaksi warganet dan rata-ratanya bersimpati dengan nasib Arif, selain ada yang turut berkongsi pengalaman menjadi mangsa penipuan peniaga dalam talian.
Berkongsi pengalaman itu, Arif berkata, dia membeli beg duit di portal berkenaan dengan harga RM18, dua minggu lalu dan barangan itu dikirim dari China.
ADVERTISING
“Selasa lalu, kiriman itu sampai, tetapi saya terkejut apabila melihat tiga helai seluar dalam wanita dalam bungkusan itu dan bukannya beg duit seperti ditempah.
“Kebetulan, rakan sebilik ada pada waktu itu dan mereka tergelak selepas melihat kandungan di dalam bungkusan itu.
“Sedih juga kerana sudah lama menunggu beg bungkusan itu tiba, tetapi barangan diterima tidak seperti diharapkan dan saya tergelak selepas melihat rakan lain ketawa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Arif berkata, dia sudah membuat laporan kepada portal berkenaan, tetapi penjual terbabit enggan mengembalikan wang sebaliknya mahu menggantikan dengan beg duit.
Menurutnya, meskipun kerugian ditanggung tidak banyak, apa yang berlaku itu menyebabkan dia khuatir untuk membeli barangan dalam talian.
“Saya tidak ragu-ragu untuk membeli di portal berkenaan kerana tidak pernah berdepan sebarang masalah dalam pembelian sebelum ini.
“Lagipun, portal berkenaan agak terkenal dan harga barangan dijual di situ berpatutan, tetapi nasib saya tidak baik kali ini apabila menjadi mangsa penipuan.
“Saya kongsikan pengalaman itu di Twitter dengan harapan ia dapat membuka mata warganet supaya berhati-hati ketika membeli barangan secara dalam talian,” katanya yang juga anak sulung daripada enam beradik.