“Sejak Beberapa Hari Ini Arwah Kelihatan Lebih Pendiam Berbanding Biasa” Lelaki Warga Emas “Pergi” Dalam Keadaan Lemas

LELAKI warga emas ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya terbabas sebelum terjatuh ke dalam tali air di Kampung Gerai Muda, Jertih, hari ini.

Difahamkan mangsa, Muhammad Awang, 74, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Isyak dan solat hajat di surau kampung itu pada 9 malam tadi.

Anak sulungnya, Amran Muhammad, 49, berkata beberapa rakan bapanya sempat melihat arwah pulang menunggang motosikal melalui jalan sering dilaluinya untuk pulang ke rumah.

“Namun ketika ibu terjaga pada 3 pagi, dia perasan ayah masih belum pulang dan segera menghubungi kami adik beradik serta penduduk kampung untuk mencari ayah.

“Hasil pencarian awal menemui motosikal arwah ayah terjunam dalam tali air pada 5.30 pagi,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Daerah Besut, hari ini.

Amran berkata, operasi pencarian diteruskan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan arwah bapanya ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat jatuh kerana dibawa arus air deras pada 10.15 pagi hari ini.

Menurutnya, bapanya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan sering ke surau untuk belajar ilmu agama.

“Namun sejak beberapa hari ini arwah kelihatan lebih pendiam berbanding biasa sama ada ketika bersama keluarga atau rakan.

“Kali terakhir saya bertemu arwah ketika sambutan Hari Raya Aidiladha lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan lain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.19 pagi daripada orang awam memaklumkan kejadian itu.

“Seramai tujuh anggota diarahkan ke tempat kejadian untuk menyertai misi mencari mangsa lemas.

“Mangsa berjaya ditemui orang awam dan dibawa naik ke daratan pada 10.15 pagi sebelum diserahkan kepada polis. Operasi tamat pada 11.05 pagi,” katanya.

Artikel Berkaitan   "Saya Ingatkan Biawak Sedang Makan Bangkai Kerbau, Tapi Rupa-Rupanya Mayat," Pesara Terkejut Jumpa Mayat Tanpa Tangan

kredit harian metro