“Sekarang, Alhamdulillah Saya Berjaya Membeli Rumah Sendiri” Walauapun Dalam Kekurangan, Azmi Berjaya Ada Aset Sendiri

STATUS orang kelainan upaya (OKU) cacat penglihatan ternyata tidak pernah menghalang Azmi Saat, 33, yang juga merupakan vokalis kumpulan Caliph Buskers untuk mengejar impiannya.

Menurut Azmi, semenjak bergiat aktif dalam industri muzik perdana, bakatnya semakin dihargai sekali gus memberi lebih banyak peluang untuknya berkongsi bakat yang ada pada dirinya.

“Alhamdulillah sejak bergelar artis saya dapat mengembangkan bakat nyanyian dan muzik pada ruang yang lebih besar.

“Kalau dulu, saya hanya menyanyi di jalanan dengan kelompok peminat yang kecil. Malah saya hanya melakukan rutin yang sama kerana keterbatasan diri.

“Bila masuk industri, kehidupan berubah 360 darjah. Banyak peluang orang bagi untuk saya bawa bakat sejauh mana yang mampu tanpa sebarang prejudis,” ujar Azmi.

Berkat usaha dan kesungguhannya, Azmi kini mampu tersenyum apabila berjaya bersaing secara terbuka dengan rakan-rakan artis normal yang lain.

“Saya bersyukur dengan peluang yang diberikan oleh orang dalam industri kepada orang OKU macam saya. Banyak pencapaian yang saya raih sepanjang lima tahun ini.

“Paling memberi kesan, semestinya perubahan hidup saya yang kini jauh lebih baik berbanding dulu. Sebelum jadi artis, pendapatan saya hanya cukup-cukup makan sahaja, itupun kalau tak kena tipu.

“Sekarang, alhamdulillah saya berjaya membeli rumah sendiri dan bakal siap untuk diduduki tidak lama lagi. Dalam masa yang sama, saya juga dalam proses mengumpul barang-barang muzik untuk keperluan studio milik saya sendiri nanti.

“Kalau tak berada di sini hari ini, mungkin impian untuk buka studio tidak akan terlaksana,” luah Azmi yang pernah mencari rezeki menerusi kerja mengurut.

Artikel Berkaitan   “Kami Paksa Dia Ambil Dan Akhirnya Dia Akur. Alhamdulillah Masih Ada Lagi Orang Jujur Seperti Syahmi.”