Selepas Didakwa Ditahan Polis Kerana Cekik Dan Tumbuk Tunang, Syafiq Naswip Kunci Mulut

KUALA LUMPUR – Pelakon Syafie Naswip buat masa ini enggan mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kontroversi laporan yang mendakwa dia mencederakan bekas tunangnya, pelakon Aishah Azman.

Kenyataan itu dikeluarkan pengurusnya, Badrul Hashim ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Badrul menegaskan, tiada kenyataan yang ingin dikeluarkan daripada pihak Syafie buat masa ini.

Semalam, peminat dikejutkan dengan berita penahanan seorang pelakon lelaki yang mencederakan tunangnya dengan mencekik serta menumbuk mulut mangsa hingga berdarah dalam kejadian di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, di sini pada 26 Jun lalu.

Menurut laporan polis, pelakon itu telah datang ke rumah bekas tunangnya sebelum memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya.

Suspek kemudian telah mengeluarkan kata-kata kesat selepas mangsa memintanya untuk tidak meneruskan hubungan dengan rakan sejenis.

Pelakon itu kemudiannya ditahan polis pada Sabtu lalu selepas menyerah diri di Balai Polis Bandar Kinrara dan mencederakan mangsa, namun dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Terdahulu, Syafie pada 21 Julai lalu mengumumkan ikatan pertunangannya dengan Aishah tidak dapat diteruskan dengan alasan tidak mampu mengharungi dugaan bertunang. – K! ONLINE