“Selepas Kerajaan Bertukar, Satu Per Satu Tawaran Tersebut Terbatal. Saya Hilang Punca Pendapatan Empat Bulan Duduk Rumah”

Pelawak dan pengacara, Nabil Ahmad merancang untuk menumpukan perhatian terhadap bidang perniagaan sepanjang tahun depan selepas kebanyakan projek berkaitan bidang seninya dibatalkan sepanjang tahun ini.

Nabil atau nama sebenarnya, Ahmad Nabil Ahmad, 36, berkata, sejak pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 9 Mei tahun lalu, kerjaya seninya terjejas dengan teruk.

Menurut Nabil, dia pernah tidak mendapat sebarang tawaran kerja selama empat bulan dan hanya bergantung hidup dengan hasil daripada menjadi pengacara untuk program MeleTOP dan juruhebah stesen radio Era.

“Setiap tahun jadual seni saya padat termasuk ketika hujung minggu ada sahaja tawaran kerja. Begitu juga tawaran kerja pada tahun 2019 amat padat.

“Bagaimanapun, selepas pertukaran kerajaan, satu per satu tawaran tersebut terbatal. Kesannya saya hilang punca pendapatan. Saya pernah duduk di rumah empat bulan tanpa sebarang tawaran,” katanya kepada Kosmo!.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran single LuPK Sendiri dan program YouTube menerusi LuPK TV.

Jelas pelakon filem Lu Pikir Sendiri De Movie itu, sepanjang 10 tahun penglibatannya dalam dunia seni, situasi yang dilalui sekitar tahun ini merupakan pengalaman terburuk dalam kerjayanya.

“Saya sedar saya tidak boleh bergantung dengan kerja sebagai pengacara. Sehubungan itu, saya ingin fokus terhadap perniagaan pada tahun depan,” ujarnya. – K! ONLINE

Artikel Berkaitan   Pelombong Kecilan Berubah Jadi Jutawan Sekelip Mata-Mata Gara-Gara Jumpa Batu Yang “Rare”